China, DPRK Ikrar Perkasa Kolaborasi

(CRI)Jumaat 05 September 2025

Presiden China Xi Jinping mengadakan rundingan dengan pemimpin tertinggi Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) Kim Jong Un di Beijing pada Khamis.

Xi yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), berkata China akan terus menyokong DPRK menempuh jalan pembangunan yang selaras dengan keadaan negara itu sendiri.

Beliau menzahirkan kesediaan China untuk meningkatkan pertukaran peringkat tinggi dan komunikasi strategik dengan DPRK, di samping memperdalam perkongsian pengalaman mengenai tadbir urus parti dan negara, serta memperkukuh persefahaman dan persahabatan antara satu sama lain.

China juga komited merapatkan pertukaran melibatkan segenap peringkat dengan DPRK dan menjalankan kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang.

Tegas beliau, China dan DPRK perlu memperkasa koordinasi strategik dalam urusan antarabangsa dan serantau bagi memelihara kepentingan bersama.

Dalam isu Semenanjung Korea, China sentiasa memegang pendirian yang objektif dan adil serta bersedia terus mempergiat koordinasi dengan DPRK bagi memelihara kedamaian dan kestabilan semenanjung itu.

Sementara itu, Kim yang juga Setiausaha Agung Parti Pekerja Korea (WPK) berkata penganjuran majlis memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia memperlihatkan iltizam teguh China untuk menjaga kedamaian dunia serta kedudukan dan pengaruh penting China di arena antarabangsa.

DPRK bersedia bekerjasama dengan China untuk merapatkan pertukaran sesama parti dan negara dalam pelbagai peringkat, di samping berkongsi pengalaman mengenai pemerkasaan parti dan pembangunan ekonomi.

Beliau turut menyuarakan hasrat pihaknya untuk memperdalam kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan China sehingga mencapai lebih banyak hasil.

Video

Berita Berkaitan