- Lain-lain
China Gesa AS dan Jepun Menarik Balik Sistem Peluru Berpandu Typhon
China menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Jepun agar mendengar suara dari negara-negara rantau Asia, membetulkan tindakan yang salah serta menarik balik sistem peluru berpandu jarak sederhana Typhon.
Perkara itu ditegaskan jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian dalam sidang media pada Selasa sebagai reaksi terhadap tindakan AS menempatkan sistem peluru berpandu tersebut di Jepun sebagai sebahagian latihan ketenteraan bersama antara kedua-dua negara.
Lin berkata pentadbiran Beijing menentang sekeras-kerasnya tindakan AS yang menempatkan sistem peluru berpandu di negara Asia yang dilihat bukan sahaja akan menjejaskan kepentingan keselamatan yang sah negara-negara serantau, bahkan meningkatkan risiko kepada perlumbaan senjata dan konfrontasi ketenteraan.
Ujarnya, tindakan seumpama itu juga akan memberi ancaman keselamatan strategik serantau.
Menurut Lin, tindakan ketenteraan dan keselamatan yang diambil pentadbiran Tokyo sentiasa menarik perhatian negara-negara jiran Asia dan masyarakat antarabangsa memandangkan Jepun pernah melakukan pencerobohan militarisme dalam sejarah.
Justeru, China mendesak Jepun agar meneliti semula sejarah pencerobohan yang dilakukan negara itu serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menghakis kepercayaan negara-negara jiran Asia serta menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau.