- Lain-lain
Ketua Eksekutif HKSAR Bentang Laporan Kerja 2025
John Lee Ka-chiu, Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) China pada Rabu telah membentangkan laporan kerjanya yang keempat, yang memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh industri baharu muncul, menarik bakat dan pelaburan negara, menyokong perusahaan dari Tanah Besar untuk menerokai pasaran global, serta menambah baik mata pencarian penduduk.

Ketua Eksekutif HKSAR, John Lee Ka-chiu menyampaikan laporan kerjanya yang keempat 17 September 2025. (People’s Daily Online/Wu Yuyangyang)
Menurut Lee, inisiatif laporan kerja bertajuk ‘Memperdalam Pembaharuan agar Rakyat Memanfaatkan Kekuatan untuk Masa Depan yang Lebih Cerah’ itu seiring dengan kelebihan kompetitif bandar itu di bawah prinsip ‘satu negara, dua sistem’.
“Dengan pengaruh yang kian berkembang pada peringkat antarabangsa, Hong Kong diiktiraf sebagai ekonomi paling bebas di dunia, selain bandar mesra perniagaan dan maju. Kesemua elemen itu memperlihatkan kekuatan keinstitusian dan daya tenaga hebat ‘satu negara, dua sistem’,” ujar Lee.
Tambah beliau, di bawah dasar ‘satu negara, dua sistem’, Hong Kong menikmati kelebihan unik dalam menarik perusahaan luar negara dan membantu syarikat dari Tanah Besar untuk menembusi pasaran global.
“Pada masa dahulu, kami hanya fokus untuk membawa masuk syarikat, seterusnya mencapai pertumbuhan dan kejayaan menakjubkan. Peluang-peluang baharu untuk Hong Kong kelak boleh didapati dengan membantu perusahaan dari Tanah Besar agar berkembang ke luar negara,” jelas Lee.
Bagi menarik lebih banyak pelaburan dari Tanah Besar dan luar negara, beliau mengumumkan bahawa kerajaan akan memformulasi pakej dasar utama, termasuk insentif seperti geran tanah, premium tanah, subsidi kewangan dan insentif cukai, dalam usaha menarik syarikat dan industri bernilai tinggi ke Hong Kong.
Lee turut menekankan pembangunan Metropolis Utara, iaitu sebuah kawasan bersempadanan dengan Tanah Besar, serta meliputi sekitar satu pertiga daripada populasi dan kawasan keseluruhan Hong Kong, dengan menggelarnya sebagai ‘enjin baharu pembangunan ekonomi Hong Kong dan mempunyai potensi luar biasa’.
Dalam usaha untuk mempercepat pembangunannya, satu jawatankuasa baharu untuk pembangunan Metropolis Utara itu akan diwujudkan, dipengerusikan oleh Lee, dengan objektif meningkatkan lagi taraf pembuatan keputusan.
Dengan kewujudan jawatankuasa itu, aliran kerja pentadbiran akan diperkemas, manakala halangan dan sekatan yang tidak perlu akan dibatalkan. Tambahan lagi, penggubalan undang-undang yang didedikasikan akan diperkenal untuk memperkuat kerajaan dalam membina prosedur berkanun yang dipermudah bagi mempercepat pembangunan Metropolis Utara.
Bagi memperkukuh tadbir urus, Lee berkata pihaknya akan mewujudkan sistem kebertanggungjawaban untuk menerajui pelbagai jabatan serta pasukan penambahbaikan keberkesanan AI.
Lee menyifatkan AI sebagai ‘tenaga pendorong utama’ untuk pembangunan industri. Katanya, dengan mempunyai kelebihan dalam penyelidikan saintifik, modal, bakat dan data, Hong Kong mampu menjadi hab global untuk pembangunan AI.
Pembentangan laporan kerja termasuk objektif dasar, pendekatan kunci dan petunjuk prestasi. Satu dokumen sokongan yang menyediakan maklumat lanjut terhadap langkah dasar dan isu-isu berkaitan turut dikeluarkan.
“Hong Kong mendepani cabaran dan pada masa sama terus menerima peluang di sebalik dunia yang kian berubah.
“Negara kita, iaitu ekonomi kedua terbesar di dunia, merupakan penyokong paling tegar dan sumber kepada peluang terbesar Hong Kong. Digabungkan dengan prospek antarabangsa Hong Kong, peluang kami jauh mendahului cabaran. Dengan bekerja bersama-sama, menginovasi, dan mendakapi pembaharuan, kita boleh mengubah Hong Kong tercinta menjadi rumah yang lebih baik untuk semua orang,” kata Lee.
- Masa Depan HK Pasti Lebih Cerah - Kementerian Luar China
- Hong Kong Melonjak ke Tangga Ketiga Ranking Daya Saing Dunia
- Laporan "Akta Dasar Hong Kong 2025" AS, Intervensi Biadab
- Hong Kong Jemput Syarikat Antarabangsa Melabur dan Nikmati Pembangunan "Satu Negara, Dua Sistem"
- Xi Bertemu Ketua Eksekutif SAR HK John Lee
- Xi Terima Pelaporan Kerja Ketua Eksekutif HKSAR
- Armada Kapal Tentera Laut China Akhiri Lawatan di HK
- Xi Balas Surat dari Usahawan Hong Kong Asal Ningbo
- Hong Kong Lonjak ke Tempat ke-5 Ranking Daya Saing Dunia
- Pemecah Ais Xuelong-2 Buat Kemunculan Sulung di HK




