- Lain-lain
People’s Daily Siar Siri Rencana, Ulas Dasar Ekonomi China
Bermula pada 30 September, People’s Daily telah menerbitkan satu siri rencana ulasan selama lapan hari berturut-turut mengenai dasar-dasar ekonomi China, menyentuh perkara-perkara yang menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.
Pembangunan jangka panjang China mempunyai faktor penstabil.
Sepanjang tempoh Pelan Lima Tahun ke-14, KDNK China kekal di atas paras 100 trilion yuan, malahan menjangkaui berbilang penanda sepuluh trilion yuan, dan dijangka mencecah 140 trilion yuan tahun ini. Rencana berjudul “Memahami Logika Intrinsik, Pembangunan Ekonomi Stabil Jangka Panjang China” menekankan wujudnya logika yang mendalam kesannya, yang membolehkan ekonomi berskala sebegini raksasa mengekalkan pertumbuhan yang stabil dalam jangka panjang.
Memetik satu contoh, rencana tersebut menjelaskan bahawa berbeza dengan penggal pentadbiran pendek dan kekerapan berlakunya kebalikan dasar di bawah sistem parti berbilang yang diamalkan dunia Barat, Parti Komunis China yang mentadbir dengan kesinambungan menjadi tunjang kestabilan yang mustahak bagi pembangunan jangka panjang negara.
China memfokuskan penyempurnaan sistem kawalan makro dan pengukuhan kawal selia kitaran balas, di samping membimbing jangkaan pasaran, meningkatkan keyakinan masyarakat, sekali gus memastikan kesesuaian tahap pelaksanaan dasar sambil melicinkan sebarang turun naik ekonomi dan mengekalkan operasi ekonomi dalam julat yang munasabah.
Penaiktarafan dan transformasi perindustrian bukan satu pendekatan pukul rata.
Sebagai respons kepada suara-suara pesimistik mengenai ekonomi China, rencana “Pandangan Saintifik dan Objektif mengenai Arus Pembangunan Ekonomi Semasa China” menyebut bahawa pada keseluruhannya, ekonomi negara ini sedang melalui peralihan struktur, menunjukkan momentum positif, dan menampakkan prospek yang cerah untuk masa depan.
Rencana menyatakan, penaiktarafan dan transformasi industri bukanlah sesuatu yang berlaku serentak, bukan juga selangkah demi selangkah, sebaliknya dijalankan pada kelajuan dan urutan yang berbeza-beza. Lain-lain tempat, industri dan kelompok lainlah keadaannya, dan mungkin wujudnya perbezaan antara data ekonomi makro dan persepsi sesetengah entiti.
Sehubungan dengan ini, perspektif yang komprehensif adalah perlu, kerana situasi ekonomi menyeluruh tidak patut diketepikan ekoran pengalaman negatif sesetengah peniaga. Pada masa yang sama, usaha juga perlu dilakukan untuk mengecilkan jurang perbezaan terbabit menerusi pembaharuan dan sokongan dasar, agar seluruh rakyat dapat merasai faedah pembangunan.
Memacu transformasi dan penaiktarafan membawa peluang baharu.
Menyangkal hujah bahawa peluang pelaburan dan pembangunan di China makin berkurang, rencana “Transformasi dan Penaiktarafan Ekonomi China Membawa Peluang Besar” menyatakan komitmen China mempercepat transformasi dan penaiktarafan ekonominya pasti mengundang peluang baharu yang belum pernah dilihat sebelumnya buat negara-negara lain di dunia.
Berhubung dividen modal insan, China antara yang teratas di dunia dari segi bilangan bakat sains dan teknologi, terbukti dengan pemupukan lebih 5 juta graduan jurusan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) setiap tahun. Dividen ini, khususnya yang melibatkan kejuruteraan, kian hari kian kukuh, hinggakan menyangga inovasi teknologi dan kenaikan taraf sektor perindustrian.
Dari segi peluasan dan penaiktarafan penggunaan, KDNK per kapita China telah mencecah 13,000 dolar AS, manakala volum pasaran gergasi ini terus-menerus meningkat. Penaiktarafan penggunaan kini di fasa kritikal - proses permintaan baharu menjana penawaran baharu dan penawaran baharu mencipta permintaan baharu juga membuka berbagai-bagai peluang untuk penanaman modal.
Dasar makro China tidak dipengaruhi mana-mana kumpulan berkepentingan khas.
Serata dunia, kepastian telah menjadi sumber yang semakin sukar didapati. Rencana bertajuk “Pemahaman Komprehensif tentang Kepastian dibawa Pembangunan Ekonomi Berkualiti Tinggi China” menyifatkan kepastian dasar ekonomi makro sebagai faktor yang menjamin ekonomi China beroperasi dengan lancar.
Menurut rencana itu, walau apa jua kerumitan dan perubahan persekitaran luaran, dasar makro China sentiasa berpegang pada prinsip umum iaitu mengejar kemajuan sambil mengekalkan kestabilan, berpandukan hukum ekonomi, serta menyesuaikan tahap dan hala tuju pelaksanaan mengikut masa dan kaedah yang patut berdasarkan perubahan situasi. Tumpuan juga diletakkan pada kesinambungan dan kestabilan dasar makro seperti kewangan dan mata wang.
Sebaliknya, sesetengah negara Barat cenderung kepada dasar makro yang tidak panjang fikiran, sedangkan kesinambungan dasar sering diganggu oleh kitaran pilihan raya. Keadaan berbeza di China yang dasar makronya tidak dipengaruhi mana-mana kumpulan berkepentingan khas, maka boleh dipercayai dan boleh diharap.
Pembangunan China bukanlah apa yang dikatakan “kejutan”.
Jika ditanya apakah yang disumbangkan oleh pembangunan China kepada dunia, jawapannya ada dihuraikan dalam rencana “Pembangunan Ekonomi China Mempunyai Ciri-ciri Terbuka dan Menang-menang”, iaitu peluang yang amat besar, dan bukannya apa yang dikatakan “kejutan”.
Sebagai contoh, pasaran China skalanya raksasa dan berkembang pesat, menjana penggunaan hampir 50 trilion yuan dan import melebihi 20 trilion yuan setiap tahun. China secara aktif mengamalkan peraturan ekonomi dan perdagangan antarabangsa pada standard yang tinggi, mengoptimumkan iklim niaga tanpa henti, terus-menerus meningkatkan keterbukaan keinstitusian, serta melaksanakan pendekatan halangan sifar bagi akses pelaburan asing dalam sektor pembuatan.
China juga memastikan perkembangan sihat projek-projek rintis yang bertujuan membuka sektor perkhidmatan termasuk telekomunikasi, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Rencana memetik satu tinjauan oleh Majlis Perniagaan AS-China yang mendapati majoriti syarikat ditinjau percaya bahawa pasaran China sangat diperlukan untuk mengekalkan daya saing mereka di persada global.