- Lain-lain
Tikus Angkasa China Selamat Lahir Anak Selepas Misi
Pasukan penyelidik Akademi Sains China telah mengumumkan nama salah satu daripada empat ekor tikus yang pernah dilancarkan ke stesen angkasa China. Tikus berkenaan yang dipilih daripada 48 calon, dibawa ke angkasa lepas bersama kru pesawat Shenzhou XXI pada 31 Oktober dan selamat kembali bersama kru Shenzhou-20 pada 14 November.
Pada satu acara yang dibuka kepada awam, tikus-tikus tersebut diberikan nama Wangtian (memandang langit), Lanyue (menggapai bulan), Zhuiyun (memburu awan) dan Zhumeng (mengejar impian). Bertemakan “tikus terbang”, acara berlangsung di Muzium Zoologi Negara China.
Susulan kepulangan tikus dari angkasa lepas, para saintis menjalankan satu siri kajian, bertujuan menyelidiki kesan persekitaran angkasa pada fisiologi dan tingkah laku mamalia. Jelas Li Tianda, seorang pakar dari Institut Zoologi (IOZ) Akademi Sains China, fokus kajian adalah pada respons spesimen terhadap tekanan dan cara menyesuaikan diri.
Dalam satu perkembangan yang signifikan, Pusat Teknologi dan Kejuruteraan Penggunaan Ruang Angkasa (CSU) memaklumkan bahawa salah satu daripada tikus betina telah selamat melahirkan anak selepas kembali ke bumi. Sebanyak sembilan ekor anak dilahirkan pada 10 Disember, dan enam daripadanya hidup – kadar yang dianggap biasa. Sang ibu dilaporkan menyusui anak dengan normal, dan anak-anak kelihatan aktif dan sihat.
“Misi ini menunjukkan bahawa perjalanan jangka pendek ke angkasa lepas tidak merosakkan sistem pembiakan tikus,” kata Wang Hongmei, penyelidik di IOZ. “Ia juga menyediakan sampel yang sangat tinggi nilainya untuk mengkaji bagaimana persekitaran angkasa memberikan kesan kepada fasa awal tumbesaran mamalia.”

Anak tikus angkasa. Foto ihsan Pusat Teknologi dan Kejuruteraan Penggunaan Ruang Angkasa (CSU) Akademi Sains China
Misi berdepan cabaran apabila perubahan jadual menyebabkan kekurangan bekalan makanan di orbit. Pasukan di bumi segera mencari penyelesaian, dan dengan sokongan angkasawan di stesen angkasa, air dibekalkan kepada tikus menerusi saluran penghantaran khusus. Selepas ujian di darat, susu soya daripada bekalan angkasawan digunakan sebagai pengganti makanan sementara. Sebuah sistem pengawasan berbantu AI digunakan untuk memantau tingkah laku tikus bagi memudahkan proses membuat keputusan.
CSU menyifatkan pencapaian ini sebagai eksperimen angkasa pertama China melibatkan mamalia dengan kitaran penuh, meliputi fasa prapelancaran, operasi dalam orbit, dan pengumpulan sampel. Saintis akan terus mengkaji perkembangan anak-anak tikus dan juga kesan pendedahan terhadap ruang angkasa yang mungkin turun kepada generasi-generasi seterusnya.
- Kru Shenzhou-21 Selesai Misi EVA Kali Pertama
- Pusat Angkasawan Bakal Dibina di Hainan pada 2026
- Kru Shenzhou-21 Selesai Jalani Latihan Kecemasan Tekanan di Stesen Angkasa Lepas
- China Berjaya Lancar Shenzhou-22 ke Angkasa Lepas
- China Lancar Logo Misi Penerbangan Kapal Angkasa Shenzhou-22
- Kru Shenzhou-20 Selamat Kembali ke Bumi
- Misi Pengembalian Kru Shenzhou-20 Mengikut Perancangan
- Kru Shenzhou-20 Pulang ke Bumi Pada 5 November
- Kru Shenzhou-21 Masuk Stesen Angkasa
- China Bakal Lancar Kapal Angkasa Bermanusia Shenzhou-21 Esok




