- Lain-lain
China, Kanada Komited Perkasa Kerjasama Segenap Bidang

China dan Kanada senada mempertingkat pertukaran pelbagai peringkat dan memperkasa kerjasama segenap bidang.
Kesepakatan itu dicapai hasil pertemuan Perdana Menteri China Li Qiang dengan rakan sejawatnya dari Kanada, Mark Carney di Beijing pada Khamis.
Li berkata China bersedia meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dengan Kanada, di samping memanfaatkan mekanisme dialog antara kerajaan bagi memastikan perdagangan dua hala mencapai pertumbuhan yang mantap.
Kerjasama membabitkan tenaga bersih, teknologi digital, pertanian moden, aeroangkasa, pembuatan dan kewangan perlu diperkasa sehingga memupuk lebih banyak titik pertumbuhan, ujar beliau.
Li turut memberi penekanan terhadap sokongan padu kedua-dua pihak terhadap program pertukaran dalam bidang pendidikan, budaya, pelancongan, sukan, belia dan sebagainya.
Menyebut tentang kolaborasi di bawah pelbagai kerangka, beliau menyatakan kesediaan China untuk bekerjasama dengan Kanada di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Kumpulan 20 (G20), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan lain-lain, serta bersama-sama memelihara multilateralisme dan perdagangan bebas.
Sementara itu, Carney berkata Kanada akan memajukan kerjasama dengan China dalam bidang perdagangan, tenaga, ekonomi hijau, sosiobudaya dan sebagainya, sambil meningkatkan komunikasi dan koordinasi bagi bersama-sama menyokong peranan utama dimainkan PBB dalam urusan antarabangsa serta menjaga sistem perdagangan pelbagai hala.




