- Lain-lain
Understand China | Adakah China Akan Dominasi Segalanya?
Perumusan saintifik dan kesinambungan pelaksanaan pelan-pelan lima tahun merupakan kaedah utama Parti Komunis China (PKC) mentadbir negara, juga jendela yang mustahak untuk masyarakat antarabangsa memahami pemodenan China.
“Understand China”, program terbaru terbitan People’s Daily Online ini, memfokuskan Pelan Lima Tahun ke-15 (2026-2030). Siri ini mengkaji perancangan pembangunan, peluang, dan pendekatan tadbir urus China, dengan tujuan menghapuskan salah faham sekali gus meningkatkan pemahaman dan penerimaan khalayak antarabangsa.
Episod kali ini membawakan dialog antara Ji Deqiang, profesor dan pengarah di Pusat Pengajian Inovasi Komunikasi Kebangsaan, Universiti Komunikasi China, dan Martin Lockett, profesor Pengurusan Strategik Sekolah Perniagaan Universiti Nottingham kampus China. Perbincangan mereka meneroka bagaimana kemandirian China dalam sains dan teknologi akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi sendiri dan juga usaha inovasi global.
Adakah China akan mendominasi segala-galanya? Sehubungan dengan perhatian masyarakat antarabangsa mengenai kemajuan teknologi China, Lockett menyatakan, dari satu segi, soalan seumpama timbul berikutan kejayaan China dalam sektor pembuatan dan lain-lain. Teori “ancaman China”, menurut Lockett sesuatu yang dibesar-besarkan, adalah berlandaskan idea-idea yang ketinggalan zaman, atau salah komunikasi.
Pada pandangan Lockett, komitmen China untuk mendorong kemandirian sains dan teknologi pada tahap yang tinggi merupakan manifestasi responsnya baik dalam bentuk reaktif mahupun proaktif. Beliau mengaplikasikan konsep “kedwicekatan” (ambidexterity) daripada penyelidikan perniagaan antarabangsa dalam mencari tafsiran mengenai perkara ini.
Menurut huraian beliau, “Makna kemandirian (sains dan teknologi) yang baik, dari satu segi, ialah keupayaan untuk memiliki produk, khidmat dan sebagainya yang dianggap utama, dan mampu berlari tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada mana-mana tempat. Pada masa yang sama, jikalau mahukan ekonomi dunia yang benar-benar produktif, perlunya kerjasama yang produktif. Cabarannya ialah bagaimana melakukan kedua-duanya serentak.”
Ji pula berkata, China tidak menyimpan sebarang cita-cita untuk mendominasi segala-galanya. “China mempunyai rasa tanggungjawab,” ujar beliau, yang kemudian menekankan bahawa rasa tanggungjawab ini bukan sahaja diperlihatkan dalam usaha memajukan ekonomi digital sendiri dengan bantuan teknologi, tetapi juga dalam sokongan China kepada negara-negara membangun untuk memajukan ekonomi digital masing-masing dan berkongsi faedah pasaran. Tegasnya, bagi sebuah negara besar seperti China, perlunya mengekalkan keupayaan-keupayaan utama dalam teknologi teras untuk membina kemampuan teknikal demi keselamatan dan mengurangkan risiko perindustrian. Kemandirian sains dan teknologi ini bagaimanapun tidak sama dengan ketertutupan.
“Dalam kebanyakan isu berkaitan pasaran, saya rasa China bersungguh-sungguh mahukan kerjasama antarabangsa,” tambah Ji lagi. Ujarnya, semangat China memacu kemandirian sains dan teknologi pada tahap tinggi adalah hasil perkembangan sejarah, juga asas kepada kerjasama multilateral yang berkualiti tinggi.
Kedua-dua sarjana memetik beberapa contoh konkrit – daripada Projek Kuasa Angin De Aar di Afrika Selatan yang membantu meringankan masalah bekalan elektrik di sana, kepada Sistem Satelit Navigasi BeiDou yang dikongsi dengan dunia; daripada kerjasama antarabangsa melibatkan stesen angkasa China hinggalah kolaborasi antara China dan negara-negara lain dalam sektor kenderaan pintar. Kesemua ini jelas menampakkan betapa perkembangan sains dan teknologi China menitikberatkan kemandirian sambil berpegang teguh pada keterbukaan dan kerjasama antarabangsa.




