- Lain-lain
Keindahan Musim: Xiaohan
Tahun baharu sudah tiba, dan kita dalam musim “Xiaohan” atau Dingin Kecil. Sekarang, Zhangjiakou di provinsi Hebei, utara China dibaluti musim sejuk. Marilah bersama Sisi terokai kota Olimpik ini, dan hayati kembara ais dan salji yang ajaib!
Orang China zaman purba melihat alam dengan puitis. Mereka mencipta kalendar alamiah yang dipanggil Kalendar 24 Bunga, yang menandakan ketibaan musim bunga dengan kemekaran bunga-bungaan. Pada Xiaohan, bunga plum, kamelia dan dafodil mulai mekar satu demi satu. Bunga plum yang mengharungi fros, yang terawal membawa mesej musim bunga. Bagi orang China, bunga plum lebih daripada sekadar bunga. Ia melambangkan semangat yang tidak mudah luntur dan kekuatan dalaman.
Tibanya Xiaohan, musim sejuk benar-benar memuncak. Menurut perubatan tradisional Cina, badan kita lebih memerlukan kepanasan untuk melawan kesejukan. Inilah sebabnya di selatan China, orang gemar makan pulut dan sup kambing panas-panas untuk menghangatkan badan. Namun, di utara, pir beku satu kemestian. Ia dianggap manisan “slushy” semula jadi. Disebabkan sebutan namanya dalam bahasa Cina, ia juga melambangkan hasrat untuk bersama sepanjang tahun.
Selepas puas menjamah juadah enak, tiba masanya untuk menyambung kembara! Di utara China, banyak sungai dan tasik beku pada Xiaohan, menjadi taman permainan semula jadi. Orang meluncur di atas ais – orang dahulu memanggilnya “Bingxi” atau bersiar-siar di ais. Perasaan meluncur dengan bebas di atas salji sangat menakjubkan. Lihat! Saya sekarang di Resort Ski Thaiwoo di daerah Chongli, bandar Zhangjiakou, provinsi Hebei, utara China.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, temasya seperti Olimpik Musim Sejuk Beijing dan Sukan Musim Sejuk Asia Harbin mempopularkan sukan musim sejuk di China. Dengan adanya kemudahan terbaik, semakin ramai orang yang jatuh cinta pada sukan ais dan salji. Tahukah anda, orang di merata dunia telah berabad lamanya menggemari sukan musim sejuk? Ribuan tahun lalu, orang di utara Eropah dan Asia Tengah sudah pun bermain ski. Menjelang abad ke-18, ski sudah menjadi sukan kompetitif moden. Walaupun kita semua bertutur bahasa yang berbeza, kita semua sama menggemari ais dan salji, dan itulah keajaiban sukan – ia menghubungkan dunia!
Xiaohan mungkin sejuk, tetapi sinar harapan membawa kehangatan. Seperti pepatah purba, “Jangan salahkan cuaca sejuk, ia cumalah titik peralihan apabila musim sejuk bertemu musim bunga”. Apa yang ingin anda lakukan musim sejuk ini? Kongsilah dengan kami!
- Keindahan Musim: Solstis Musim Sejuk
- Keindahan Musim: Salji Besar
- Keindahan Musim: Salji Kecil
- Keindahan Musim: Permulaan Musim Sejuk
- Keindahan Musim: Embun Buku Turun
- Keindahan Musim: Ekuinoks Musim Gugur
- Keindahan Musim: Embun Putih
- Keindahan Musim: Berakhirnya Musim Panas
- Keindahan Musim: Permulaan Musim Luruh
- Keindahan Musim: Da Shu




