China Bangun Robot Gerudi Bawah Laut, Dorong Eksplorasi Laut Dalam

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 16 Januari 2026
China Bangun Robot Gerudi Bawah Laut, Dorong Eksplorasi Laut Dalam
Foto menunjukkan robot bawah laut dengan fungsi penggerudian tiga dimensi dan pemantauan di lokasi dalam lapisan dasar laut.

Robot bawah laut pertama yang dibangunkan secara domestik di China dengan fungsi penggerudian tiga dimensi dan pemantauan di lokasi dalam lapisan dasar laut, selesai operasi secara percubaan di Laut China Selatan pada kedalaman 1,264 meter.

Robot itu yang dibangunkan oleh Guangzhou Marine Geological Survey (GMGS) di bawah penyeliaan China Geological Survey, mencapai semua sasaran pada misi baru-baru ini, menandakan satu kejayaan signifikan buat China membabitkan eksplorasi laut dalam serta kemampuan pemantauan formasi di lokasi.

“Ia berupaya menggerudi dengan bebas dan meletakkan diri di kedudukan yang tepat dalam formasi laut dalam, secara berautonomi mengelakkan halangan seperti batu dan serpihan biologi sambil merancang laluan optimum dengan dinamik,” jelas Zhu Yangtao, jurutera GMGS merangkap timbalan ketua projek robot tersebut.

“Dilengkapi dengan berbilang sensor, ia juga boleh menjalankan pemantauan di lokasi secara jangka panjang, dengan liputan luas dan multiparameter, jauh dalam lapisan dasar laut,” ujarnya lagi.

Sewaktu operasi percubaan, sistem robot berkenaan melakukan pemantauan di lokasi dalam masa nyata terhadap formasi dasar laut, menghimpunkan lebih 2,000 set data berkaitan kepekatan metana, oksigen terlarut, dan struktur stratigrafi.

Lapisan laut dalam mengandungi sumber-sumber penting seperti hidrat gas, elemen nadir bumi laut dalam, dan nodul mangan. Walau bagaimanapun, kerja-kerja eksplorasi terhalang oleh keadaan ekstrem termasuk suhu rendah, tahap kemasinan tinggi, tekanan melampau, dan ketidakstabilan geologi.

Teknologi penggerudian dan pemantauan laut dalam yang sedia ada biasanya mempunyai kekurangan dari segi mobiliti serta liputan ruang dan masa yang mencukupi untuk membuat pemerhatian di lokasi dan menghantar data dalam masa nyata. Untuk mengatasi kurang ini, pasukan penyelidikan GMGS membangunkan sendiri teknologi-teknologi penting dan membina robot tersebut.

Ia mengguna pakai rekaan multiseksyen yang bermodul di samping mengintegrasikan pengemudian inersia, penentududukan berbantu suar magnet, dan algoritma AI, yang dengan ketaranya meningkatkan kepintaran dan kebolehsuaian persekitaran.

Memandang ke depan, pasukan itu akan terus meningkatkan prestasi keseluruhan robot berkenaan untuk menyesuaikannya dengan persekitaran kerja yang lebih rumit. Ia dijangka digunakan dalam eksplorasi dan pembangunan sumber laut dalam termasuk hidrat gas, elemen nadir bumi, dan nodul mangan.

Robot terbabit juga akan menyokong projek penggerudian saintifik laut dalam China, menawarkan sokongan teknologi yang penting kepada strategi sains laut dalam negara.

Video