- Lain-lain
Pakar China, ASEAN Bincang Perkembangan, Tadbir Urus AI
Kerjasama dan pembinaan kapasiti menjadi tumpuan perbincangan barisan pakar dari China dan ASEAN semasa Program Latihan Pembinaan Kapasiti AI China-ASEAN 2026, serentak dengan Seminar Peringkat Tinggi mengenai Teknologi Baharu dan Tadbir Urus AI.
Pertemuan lebih 100 wakil pada Jumaat lalu itu mencari titik persamaan sambil bertukar-tukar pandangan mengenai teknologi kecerdasan buatan dan cabaran-cabaran keselamatan baharu, berlatarkan perubahan pesat dan kekhuatiran yang meningkat berkaitan aspek tadbir urus AI.
Dalam ucapannya, Hou Zengguang, naib presiden Persatuan Automasi China merangkap profesor di Institut Automasi Akademi Sains China, berkata bahawa integrasi mendalam AI dengan automasi dan teknologi digital sedang mencorak semula landskap pembangunan, sekali gus mempengaruhi kegiatan pengeluaran dan kehidupan harian.
Hou menekankan, China telah menghimpunkan begitu banyak pengalaman penyelidikan, pembangunan teknologi dan aplikasi perindustrian dalam bidang automasi, yang dapat menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi sejagat.
Shahbaz Khan, pengarah dan wakil Pejabat Serantau UNESCO bagi Asia Timur, pula menganggap AI sedang merombak pola perindustrian, masyarakat, malah kerjasama di peringkat global. Di samping menjana peluang-peluang yang tidak pernah disaksikan, perkembangan semasa turut mengundang cabaran besar.
Tambah beliau lagi, sudah menjadi tugas yang digalas bersama oleh semua pemegang taruh untuk menggalakkan kerjasama yang inklusif sejajar usaha membina sistem tadbir urus AI yang adil dan saksama.
Negara-negara ASEAN berada di persimpangan genting, menurut Aung Kyaw Myat, presiden Persekutuan Institusi-institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik, yang menitikberatkan pembinaan kapasiti AI sebagai suatu keutamaan.
Turut berkongsi pendapat, presiden Universiti Tunku Abdul Rahman, Ewe Hong Tat melihat AI sebagai unsur yang pantas mempengaruhi struktur ekonomi, perkhidmatan awam, keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.
“Walaupun potensinya besar, ia juga menimbulkan soalan-soalan penting berkaitan tadbir urus, etika, keselamatan siber, piawaian, dan kepercayaan awam. Cabaran-cabaran ini tidak dapat diatasi sendiri oleh mana-mana institusi atau negara, sebaliknya memerlukan sinergi rapat antara kerajaan, akademia, industri, dan rakan kongsi antarabangsa,” ujarnya.
Dalam tempoh seminar, perbincangan meja bulat turut diadakan, memfokuskan pendidikan dan pembinaan kapasiti AI serta prospek kerjasama China-ASEAN dalam bidang terbabit.
- Persidangan Peradaban Internet China 2025 Buka Tirai di Anhui
- WIC Siar Dua Laporan Pembangunan Internet
- Minggu Kesedaran Keselamatan Siber Negara Dilancar
- Persidangan Peradaban Internet China 2024 Buka Tirai
- Memacu Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib Ruang Siber - Xi
- China Terbit Kertas Putih Tadbir Urus Ruang Siber Berasaskan Undang-undang pada Era Baharu
- China Siar Kertas Putih Tadbir Urus Siber Ikut Undang-undang




