China Ikrar Perkukuh Kerjasama dengan Azerbaijan, Kazakhstan

(CRI)Khamis 26 Mac 2026

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC), Zhao Leji mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Speaker Milli Majlis Azerbaijan, Sahiba Gafarova dan Timbalan Perdana Menteri Pertama Kazakhstan, Roman Sklyar di luar persidangan tahunan Forum Asia Boao (BFA) di provinsi Hainan pada Rabu.

Dalam pertemuan dengan Gafarova, Zhao berkata China bersedia bersama-sama Azerbaijan untuk menyemarakkan tradisi persahabatan, memperluas kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan, memperkukuh kesalinghubungan, merancakkan pertukaran sesama rakyat dan mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Sementara itu, Gafarova berkata penganjuran BFA mencerminkan peranan penting China dalam menggerakkan dialog dan kerjasama.

Azerbaijan bersedia memperkasa kolaborasi dengan China dalam pelbagai bidang dan memperdalam pertukaran antara badan perundangan, katanya.

Ketika bertemu Sklyar, Zhao menyuarakan kesediaan China untuk bersama-sama Kazakhstan menumpukan kepada kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memperkaya konotasi pertukaran sosiobudaya serta melonjakkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Sklyar pula menyatakan bahawa hubungan Kazakhstan-China bertambah kukuh di bawah bimbingan strategik pemimpin kedua-dua negara.

Kazakhstan ingin memperkukuh kerjasama dengan China dalam bidang perundangan, ekonomi, perdagangan, tenaga dan lain-lain sambil terus memajukan hubungan bilateral, kata beliau.

Video

Berita Berkaitan