Genap 100 Hari, Dasar Kastam Hainan Nampakkan Kesan Ketara

Dari 18 Disember 2025 hingga 27 Mac 2026, genap 100 hari Hainan melaksanakan operasi kastam bebas seluruh pulau. Kesan dasar tersebut terhadap Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan amat ketara, terbukti dengan kerancakan pertumbuhan dan tahap keterbukaan yang kian meningkat.

Selepas 100 hari, beli-belah bebas cukai pelancong ke luar mencecah 15.62 bilion yuan, pertambahan 27.64 peratus tahun ke tahun, sementara volum import dan eksport perdagangan luar melebihi 80 bilion yuan, tumbuh 32.9 peratus.

Pada hujung tahun lepas, laluan penerbangan penumpang pertama China dari Sanya ke Prague telah dibuka.

“Setakat 23 Mac, sebanyak 1,700 penumpang telah menggunakan laluan tersebut,” maklum He Bang, pengarah pejabat penerbangan awam Jabatan Pengangkutan Provinsi Hainan.

Pada awal Februari tahun ini, Terminal 3 Lapangan Terbang Sanya secara rasminya memulakan operasi, meningkatkan lagi kapasiti lapangan terbang tersebut. Pada masa ini, Sanya mengendalikan 34 laluan antarabangsa. Berbanding tempoh sama tahun lepas, aliran penumpang telah naik 11.2 peratus.

Ketika operasi kastam bebas seluruh pulau baru diperkenalkan, Hainan melancarkan kumpulan pertama sebanyak 72 projek berkualiti tinggi menyasarkan modal swasta. Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Provinsi Hainan bersama jabatan lain telah membina sebuah platform suai padan untuk sekali gus menyelesaikan dilema “ada dana tiada projek, ada projek tiada dana”.

Dalam masa 100 hari yang sama, bilangan entiti perniagaan baharu yang ditubuhkan di Hainan bertambah 39.87 peratus, iaitu sebanyak 85,000.

Video

Berita Berkaitan