China Umum Langkah Penilaian Berkaitan Puncak, Neutraliti Karbon

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 24 April 2026

Foto dron bertarikh 13 Januari 2026 ini menunjukkan tapak pembinaan sebuah unit turbin kuasa angin luar pesisir 20 megawatt di perairan provinsi Fujian, tenggara China. (Xinhua/Lin Shanchuan)

Foto dron bertarikh 13 Januari 2026 ini menunjukkan tapak pembinaan sebuah unit turbin kuasa angin luar pesisir 20 megawatt di perairan provinsi Fujian, tenggara China. (Xinhua/Lin Shanchuan)

China pada Khamis lalu mengumumkan langkah-langkah baharu untuk menilai prestasi kerajaan tempatan dalam usaha mencapai puncak dan neutraliti karbon, ketika seluruh negara sedang mempercepat peralihan pembangunan sosioekonomi ke arah hijau secara menyeluruh.

Langkah-langkah baharu ini, yang terkandung dalam satu dokumen terbitan Pejabat Am Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China bersama Pejabat Am Dewan Negara, bertujuan memacu pembentukan sistem dwikawalan untuk jumlah keseluruhan dan intensiti pelepasan karbon. Ia juga bagi membimbing pihak berkuasa tempatan dalam pelaksanaan penilaian prestasi secara teratur, sambil menjamin kebertanggungjawaban dalam memenuhi matlamat pengurangan karbon.

Menurut langkah-langkah terbaru ini, semasa tempoh Pelan Lima Tahun ke-15 (2026-2030), Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC) bersama jabatan yang berkenaan akan merumuskan satu pelan tindakan bagi mencapai puncak karbon. Tujuannya adalah untuk merealisasikan sasaran mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak lebih 65 peratus berbanding paras pada 2005, meningkatkan syer penggunaan tenaga bukan fosil kepada 25 peratus, dan mencapai puncak penggunaan arang dan minyak menjelang 2030.

Dokumen tersebut turut menggesa kawalan lanjut berhubung kapasiti dan penjanaan kuasa arang, selain sumber tenaga bersih baharu beransur-ansur mengisi keperluan pertambahan penggunaan bekalan elektrik.

Sistem penilaian terbabit terbahagi kepada penunjuk kawalan dan penunjuk sokongan. Penunjuk kawalan menilai keseluruhan pelepasan karbon, pengurangan intensiti karbon, jumlah penggunaan arang, jumlah penggunaan minyak, serta syer penggunaan tenaga bukan fosil. Penunjuk sokongan pula, dengan memfokuskan keefisienan tenaga, industri, pembangunan bandar-luar bandar, pengangkutan, institusi awam, serta perdagangan pelepasan karbon, akan mempertimbangkan usaha kawasan-kawasan setempat yang menyokong pencapaian sasaran puncak dan neutraliti karbon.

Dalam tempoh Pelan Lima Tahun ke-15 ini, jawatankuasa Parti dan kerajaan peringkat provinsi dikehendaki merangka pelan tindakan masing-masing dengan menetapkan sasaran tahunan dan lima tahun yang konsisten dengan objektif negara.

Di bawah langkah-langkah tersebut, kerajaan tempatan yang memenuhi kesemua penunjuk kawalan dan sokongan akan diberikan rating “cemerlang”. Bagi yang tidak berjaya memenuhi satu atau lebih penunjuk kawalan, atau tiga atau lebih penunjuk sokongan, rating “tidak layak” akan diberikan. Yang selebihnya akan mendapat rating “layak”.

Keputusan penilaian ini akan dijadikan rujukan penting dalam penilaian, pelantikan dan penyeliaan pasukan pimpinan serta pegawai Parti dan kerajaan provinsi. Bagi yang gagal memenuhi kriteria penilaian, mereka dikehendaki mengemukakan langkah pembetulan dan jadual waktu pelaksanaan.

Dimaklumkan, mulai tempoh Pelan Lima Tahun ke-16 (2031-2035), NDRC juga akan mengetuai kerja merumus pelan tindakan kawalan pelepasan karbon negara pada tahun pertama dalam setiap kitaran perancangan lima tahun, manakala kawasan-kawasan setempat akan mengemukakan pelan yang sepadan agar merealisasikan neutraliti karbon secara progresif.

China telah menetapkan dua sasaran karbon iaitu mencapai puncak pelepasan karbon dioksida sebelum 2030 dan mencapai neutraliti karbon sebelum 2060.

Video

Berita Berkaitan