- Lain-lain
China, Arab Saudi Komited Menyumbang kepada Peredaan Situasi di Asia Barat
Menteri Luar China Wang Yi menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Faisal bin Farhan Al Saud di Beijing, pada Selasa.
Dalam rundingan itu, Wang Yi menyatakan bahawa hubungan perkongsian strategik komprehensif China-Arab Saudi semakin diperkukuh sejak ia ditubuhkan sepuluh tahun yang lalu.
"Hubungan itu kini telah berkembang menjadi teladan negara-negara Selatan Global yang maju dan makmur bersama," ujar Wang.
Beliau berkata, China bersedia bersama-sama pihak Arab Saudi untuk meningkatkan kepercayaan strategik, mempergiat komunikasi dan kerjasama, melonjakkan hubungan perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara ke tahap, kualiti dan taraf yang lebih tinggi, selain membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Menyentuh mengenai situasi di Asia Barat, Wang menekankan bahawa China mengalu-alukan Amerika Syarikat (AS) dan Iran mengadakan rundingan.
"China bersedia untuk bersama-sama dengan pihak Arab Saudi, terus penyumbang kepada peredaan ketegangan situasi demi mewujudkan ketenteraman berpanjangan di rantau itu," ujar Wang.
Beliau menambah bahawa China juga menyokong pihak Arab Saudi memainkan peranan yang lebih penting dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau, bersama-sama memelihara kewibawaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan mempromosikan pembinaan sistem tadbir urus global yang lebih adil dan saksama
Dalam rundingan itu, Faisal pula menyatakan bahawa hubungan antara Arab Saudi dengan China diasaskan berdasarkan prinsip saling menghormati dan mempercayai, saksama dan keuntungan bersama.
Menurut Faisal, pihaknya amat mementingkan hubungan dengan China, dan dengan teguh mematuhi prinsip satu China.
"Arab Saudi bersedia untuk mengambil kesempatan ulang tahun kesepuluh hubungan perkongsian strategik komprehensif Arab Saudi-China untuk meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, merapatkan pertukaran rakyat-ke-rakyat, selain mempergiat kerjasama dalam bidang pelaburan, kewangan, tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan lain-lain, agar mendorong hubungan kedua-dua negara terus maju ke depan," kata beliau.
Faisal juga menegaskan bahawa pihak Arab Saudi menyokong siri inisiatif global yang digagaskan Presiden Xi, dan bersedia untuk bekerjasama erat dengan China di peringkat pelbagai hala bagi mempertahankan kepentingan bersama negara-negara membangun.
"Arab Saudi memuji peranan konstruktif yang dimainkan China dalam mempromosikan peredaan ketegangan di rantau Asia Barat, dan berharap untuk berganding bahu dengan China bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan di rantau ini secepat mungkin," ujar Faisal lagi.
- Xi Berbincang Bersama Putera Mahkota Arab Saudi
- Putera Mahkota Arab Saudi Terima Kunjungan Menteri Luar China
- China Sedia Tingkatkan Hubungan dengan Arab Saudi ke Tahap Lebih Tinggi - Kata Menteri Luar China
- China Sedia Rapatkan Kerjasama dengan Arab Saudi, Kata PM Li Qiang
- Li Qiang Bakal Lawat Arab Saudi, UAE
- Awan Huawei Mula Sediakan Perkhidmatan di Arab Saudi
- Xi Bertemu dengan Raja Arab Saudi





