China Penimbal Situasi Minyak Semasa

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 09 September 2026

Situasi yang kian meruncing di Selat Hormuz, titik sempit paling penting dalam pengangkutan minyak dunia, menambah risiko kenaikan harga minyak mentah antarabangsa. Mengikut logik pasaran dahulu, apabila konflik geopolitik mencetuskan kekhuatiran berkaitan bekalan, biasanya kebanyakan negara pengguna akan tergesa-gesa membeli dan menyimpan stok. Jurang yang semakin besar antara bekalan dan permintaan menaikkan lagi harga minyak, akhirnya memindahkan kesan kosnya dalam bentuk inflasi global.

Selepas ketegangan makin memburuk di Asia Barat baru-baru ini, semakin jelas kerisauan bahawa pemulihan ekonomi global akan terkena tempias daripada harga minyak yang melambung. Dalam lingkungan pasaran perdagangan komoditi, terdapat spekulasi berlakunya “rebutan” untuk mendapatkan minyak.

Keadaan cukup berbeza di pasaran China. Di sini, syarikat penapis minyak domestik menyesuaikan tahap pengeluaran mengikut keadaan, bahkan dengan fleksibel dan teratur memperlahankan pembelian baharu minyak mentah berkos tinggi. Langkah tersebut melicinkan pertumbuhan import dari sebelah permintaan. Melalui cara yang sangat terkawal, China telah menekan “butang penimbal” untuk mengatasi tekanan bekalan dan permintaan global.

Sebuah rencana yang disiarkan oleh The Wall Street Journal turut menyifatkan langkah China mengurangkan import minyak sebagai sokongan penting buat ekonomi dunia yang terbeban akibat tekanan. Memetik akhbar Perancis Le Figaro pula, ini merupakan kali kedua sejak krisis kewangan global pada 2008 China memainkan peranan penting untuk menstabilkan ekonomi global.

Sejak sekian lama, pendekatan yang diambil dunia ketika merungkai krisis-krisis minyak terutamanya memfokuskan aspek bekalan, memaksa negara-negara pengguna utama menanggung turun naik harga secara pasif. Namun, kali ini, sudut praktik menunjukkan bahawa pasaran pengguna yang besar juga dapat memainkan peranan sebagai penimbal dengan menyesuaikan pengeluaran dan menguruskan inventori, sekali gus menjadi daya penting dalam mengekalkan keseimbangan pasaran.

Reuters percaya bahawa sejak situasi di Asia Barat bertambah genting, tindakan China mengurangkan pembelian minyak mentah telah dengan ketaranya mengimbangi kesan turun naik bekalan dari rantau tersebut. Financial Times juga menganggap China faktor utama yang menentukan imbangan pasaran minyak global.

Melihat dari perspektif jangka panjang, yang benar-benar mencorakkan semula landskap tenaga ialah peralihan ke arah hijau yang kini semakin nyata mendalam. Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, pada suku kedua tahun ini sahaja, kenderaan elektrik di China telah menggantikan secara puratanya 1.5 juta tong minyak mentah sehari, jauh melebihi jangkaan pasaran sebelum ini. Perkembangan pesat sektor tenaga baharu China bukan sahaja sedang mentransformasikan struktur tenaga domestik, tetapi dalam diam menyumbang kepada kestabilan pasaran ekonomi global.

Video

Berita Berkaitan