Metamorfosis Pekan Salji: Bagaimana Ais, Salji Bawa Kemakmuran

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 13 Oktober 2026

Berlokasi di bandar Mudanjiang, provinsi Heilonjiang, timur laut China, Ladang Hutan Shuangfeng terkenal kerana salji lebat, dengan musim saljinya selama tujuh bulan menimbunkan salji sehingga 2 meter tebal.

Zhang Wei dahulunya seorang pekerja biasa di Ladang Hutan Shuangfeng. Pada masa lalu, salji yang mencecah paras pinggang memaksanya menggunakan kaki dan tangan untuk bergerak mengikuti denai hutan. Begitulah rutin hariannya pada musim sejuk. Cuaca melampau sejuk dan salji tebal ketika itu cukup membebankan, namun bertahun-tahun lamanya menjadi saksi kepada titisan keringat setiap pekerja di kawasan hutan timur laut China.

Pada 1980-an, pemandangan salji yang unik di Ladang Hutan Shuangfeng diabadikan dalam gambar. Nama “Pekan Salji” mula menjadi sebut-sebutan bahkan di luar kawasan setempat.

Pada 2014, kegiatan pembalakan komersial dihentikan bagi melindungi ekosistem. Pekerja perhutanan yang bergantung pada pembalakan berdepan cabaran untuk menukar mata pencarian. Beralih daripada kerjaya tersebut, Zhang mencari rezeki pula sebagai kakitangan Pekan Salji. Dia melibatkan diri dalam pembinaan arca ais dan salji, kereta berhias serta pengurusan keselamatan kawasan peranginan, justeru mengubah sumber ais dan salji setempat menjadi penjana baharu ekopelancongan. Jari-jemarinya bukan sekadar mengukir ais dan salji, tetapi juga melakar suatu babak baharu dalam hidupnya sendiri.

Bekas operator traktor, operator gergaji rantai dan juga pemandu lori balak semuanya berjaya mencari peranan baharu dalam industri ais dan salji ini. Ada yang membuka inap desa, ada juga yang memandu kenderaan persiaran. Ekonomi ais dan salji telah menjadi enjin baharu yang menjana kemakmuran tempatan.

Hari ini, Pekan Salji menjadi tempat bertapaknya lebih 200 perniagaan, mengundang kedatangan lebih 800,000 pengunjung setiap musim sejuk, yang mencipta pekerjaan buat lebih 1,000 bekas pekerja perhutanan, juga menjadi sumber pencarian lebih 5,500 kakitangan yang bertugas di seluruh kawasan peranginan itu. Lebih daripada sekadar menggambarkan integrasi budaya dan pelancongan, ais dan salji turut mendorong penaiktarafan sektor perindustrian, sekali gus menjadi tonggak kemajuan desa di timur laut China.

Memetik kata-kata Presiden Xi Jinping, “Ais dan salji telah menjadi aset berharga untuk orang mengecapi kekayaan serta memajukan kawasan desa.” Transformasi Pekan Salji satu contoh jelas yang menggambarkan amalan pembasmian kemiskinan negara ini secara hijau, iaitu dengan memanfaatkan sumber semula jadi, mengutamakan perlindungan ekologi dan menjadikan keindahan pemandangan cara untuk menambah baik kesejahteraan penduduk. Pengalaman ini memberikan faedah kepada komuniti setempat dan mendemonstrasikan kepada dunia pendekatan China yang menggabungkan pembangunan hijau, kemajuan desa dan pembasmian kemiskinan.

Suhu dingin menyengat, salji yang turun lebat, dua-duanya kini aset yang cukup berharga bagi pertumbuhan ekonomi. Berbekalkan keringat dan kepintaran, Zhang dan rakan-rakan sekerja telah mentransformasikan sumber hutan biasa menjadi suatu khazanah, membolehkan “tanah hitam” ini subur berbaja ais dan salji, mengundang ketibaan sebuah musim bunga penuh harapan. Tercoretlah satu lagi babak untuk didengari dunia, dalam kisah perjuangan China mengangkat taraf hidup rakyatnya.

Video

Berita Berkaitan