- Lain-lain
Pasar: Bukan Sekadar Tempat Membeli-belah

Orang melawat pameran porselin di blok budaya dan kreatif Taoxichuan di bandar Jingdezhen, provinsi Jiangxi, timur China, 17 Oktober 2024. (Xinhua/Zhou Mi)
Apabila senja mula labuh, daerah seni Taoxichuan di Jingdezhen, ibu kota porselin China di provinsi Jiangxi, diterangi cahaya lampu lebih 1,000 gerai yang mula mengalu-alukan kedatangan pelanggan.
Daerah seni tersebut dibuka pada Oktober 2016 dengan hanya 55 gerai. Sejak itu, ia telah menarik sekitar 28,000 penjual, yang usia puratanya 28 tahun.
Xiong Jinpeng, graduan universiti pada 2023, tertarik dengan idea bahawa “hidup ini hanyalah suatu perjalanan, dan saya ingin mencuba nasib dengan bekerja sendiri”. Gerainya kini menjana kira-kira 40,000 yuan sebulan secara purata, malahan dia juga tidak putus-putus menerima pesanan dalam talian.
Yang Fan, seorang penjual yang lahir pada tahun 90-an, merasakan bukan sekadar seramik sahaja yang ditawarkan oleh pasar itu. Di sini tempatnya untuk merasai gaya hidup yang trendy dan elegan. “Pasar ini bukan tempat untuk berjual beli semata-mata. Ia juga lokasi untuk orang berhubung antara satu sama lain.”
Jingdezhen bukanlah satu-satunya tempat yang pasarnya menjadi destinasi pilihan golongan muda. Lebih kurang 1,300 kilometer dari situ, di bandar Tianjin, utara China, satu pesta yang meraikan kesantaian menjadi latar paparan peragaan busana (cosplay), dimeriahkan lagi dengan perarakan kereta berhias. Acara itu juga menonjolkan produk warisan budaya tak ketara seperti layang-layang ala Tianjin dan lukisan gula, begitu juga kraf tangan seperti pasu kayu berukir.

Pelawat mengunjungi Pameran Buku Beijing 2025 di Taman Ditan, juga dikenali sebagai Temple of Earth, di Beijing, ibu negara China, 22 September 2025. (Xinhua/Dai Mingxuan)
Di merata China, acara seperti pameran buku di pusat bandar Beijing, pasar Sungai Kuning di provinsi Shandong dan jalan kreatif pasar lama provinsi Shaanxi menawarkan beraneka macam produk, baik kraf tangan dan makanan mahupun barang keperluan haiwan kesayangan. Tempat-tempat tersebut umpama “stesen mengecas emosi” buat muda-mudi.
Diadakan secara berkala untuk perdagangan barang, konsep pasar seperti ini telah bersejarah lama di China, sebati dengan kehidupan sejak ribuan tahun lagi. Dahulu kala, orang tinggal berselerak, sedangkan pengangkutan agak terhad. Maka, mereka akan berkumpul pada waktu tertentu di tempat tertentu untuk bertukar-tukar hasil tani dan kraf tangan. Hari ini, amalan “pergi ke pasar” telah diperturunkan dari generasi ke generasi di banyak kawasan luar bandar. Ia tetap menjadi ikatan penting yang menghubungkan penduduk tempatan.

Pelancong melawat blok budaya Istana Wanshou di Nanchang, provinsi Jiangxi, timur China, 22 Julai 2024. (Xinhua/Li Xin)
“Di sebalik evolusi yang dialami oleh pasar, wujudnya hasrat manusia untuk berinteraksi sosial di luar talian,” ujar Xu Guangjian, seorang professor di Sekolah Pentadbiran Awam dan Dasar, Universiti Renmin China. “Pasar telah menyediakan ‘ruang tamu awam’ yang berkualiti tinggi di bandar dan luar bandar untuk orang bertukar-tukar idea.”




