Tiada Kumpulan Etnik Ditinggalkan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 16 Oktober 2026

Kawasan autonomi Lisu Nujiang yang terletak di barat daya provinsi Yunnan, mentadbir empat tempat peringkat kaunti iaitu bandar Lishui, kaunti Fugong, kaunti autonomi Dulong dan Nu Gongshan, serta kaunti autonomi Bai dan Pumi Lanping.

Kampung halaman bagi 22 kumpulan etnik, Nujiang didiami lebih banyak kumpulan etnik secara keseluruhannya dan juga lebih banyak kumpulan etnik yang populasinya agak kecil jika dibandingkan dengan mana-mana kawasan autonomi lain di China.

Lebih daripada 98 peratus kawasan ini bergunung, yang membentuk landskap dramatik dengan ngarai dalam dan puncak menjulang tinggi, digambarkan sebagai “empat banjaran gunung mendakap tiga sungai”. Pada masa silam, “Sungai Nujiang mengalir tanpa putus, dua tebingnya disambungkan oleh satu tali,” jelas mencerminkan keadaan hidup dan kerja sehari-hari di sini.

Pada 2007, sekeping foto memaparkan dua beradik perempuan Lisu, Yu Chunhua dan Yu Caimei dari kampung Majimi di pekan Maji, kaunti Fugong, saat mereka menyeberangi sungai menggunakan tali luncur dalam perjalanan ke sekolah.

Antara 2011 hingga 2016, dengan sokongan kerajaan pusat, Nujiang melaksanakan projek dua fasa untuk menggantikan tali dengan jambatan di sepanjang sungai Nujiang, Lancang dan Dulong. Selepas empat puluh dua pasang tali luncur digantikan dengan 36 jambatan, penduduk di kedua-dua tebing tiga sungai tersebut dapat bergerak dengan mudah tanpa perlu mengharungi kesukaran seperti dahulu kala.

Tarikh 30 Disember 2018 menjadi detik bermakna khususnya bagi penduduk kelompok kampung Qiaomaga di Majimi, apabila Jambatan Qiaoma yang diusahakan dengan bantuan Yunnan Daily Press Group, siap dibina selepas lebih sembilan bulan.

“Dengan adanya jambatan ini, kami tidak lagi perlu menyeberangi sungai dengan tali luncur,” kata Yu Chunhua. “Hidup kami banyak berubah dalam tahun-tahun kebelakangan ini.”

Hingga kini, sebanyak 16 jambatan telah dibina di pekan Maji, jalan raya pula sudah dapat sampai ke kampung dan kediaman penduduk. Sekarang Yu Chunhua berkhidmat sebagai pekerja sektor kesihatan desa, sementera Yu Caimei kembali ke kampung halaman untuk mengusahakan tanaman mirip halia yang dipanggil caoguo. Keluarganya menjana pendapatan tambahan sebanyak 20,000 yuan setahun.

Pekan Dulongjiang di kaunti Gongshan ialah petempatan utama kumpulan entik Dulong, salah satu kelompok yang populasinya agak kecil. Ekoran keadaan semula jadi yang buruk serta kewujudan halangan lain, tempat itu pernah dikategorikan sebagai antara yang paling miskin dan mundur di Yunnan bahkan seluruh China.

Pada awal 2014, Presiden Xi Jinping mengeluarkan arahan penting menjelang siapnya pembinaan terowong Gunung Gaoligong di Lebuh Raya Dulongjiang. Beliau menggalakkan penduduk Dulong supaya “bekerja lebih keras untuk mengurangkan kemiskian”, sambil menzahirkan harapan agar mereka “mengecapi hidup yang ‘sederhana makmur’ bersama-sama kumpulan etnik lain dengan secepat mungkin.”

Pada April tahun itu, terowong tersebut dibuka secara rasmi, justeru membubuh titik noktah kepada hari-hari salji lebat menutup jalan orang Dulong ke dunia luar selama hampir setengah tahun setiap tahun.

Pada 20 Januari 2015, dalam mesyuarat bersama pegawai dan penduduk tempatan kaunti Gongshan di Kunming, Xi berkata, “Tiada satu pun kumpulan etnik patut ditinggalkan dalam usaha negara membina masyarakat yang sederhana kaya dari segenap aspek.”

Menjelang akhir 2018, kumpulan etnik Dulong secara keseluruhannya berjaya keluar dari kepompong kemiskinan, melakar sebuah transformasi bersejarah daripada kemiskinan dan kemunduran kepada kemakmuran sederhana.

Pada Mei 2022, sebuah projek ketersambungan grid kuasa 35 kilovolt kendalian China Southern Power Grid memulakan operasi di pekan Dulongjiang, menyelesaikan masalah ketidakstabilan bekalan elektrik yang lama membebani pekan itu. Hari ini, inap desa dan rumah tamu berkembang maju di sini. Permintaan terhadap bekalan elektrik yang meningkat tahun demi tahun jelas memaparkan kehidupan tempatan yang semakin mudah serta kaedah pengeluaran yang terus dinaik taraf.

Antara kraf tangan etnik Dulong, selimut Dulong yang paling terkenal. Li Yuhua, seorang penduduk kampung Dizhendang, telah mengasaskan sebuah koperasi menenun dan memproses selimut Dulong. Beliau mengetuai para wanita kampung dalam memelihara kraf tradisional ini sambil mengembangkan produk budaya dan kreatif seperti selendang dan beg yang amat digemari pelancong.

Pada 2025, pendapatan bersih per kapita di pekan Dulongjiang mencecah 20,425 yuan, naik 1.02 peratus tahun ke tahun, sejajar dengan taraf kesejahteraan penduduk yang semakin meningkat.

Pada April 2019, Xi dalam surat balas kepada penduduk Dulongjiang, mengucapkan tahniah kepada kumpulan etnik Dulong kerana berjaya mengubah nasib mereka. Beliau menggalakkan mereka terus menggembleng tenaga demi sebuah kehidupan yang lebih bahagia.

“Pembasmian kemiskinan hanyalah langkah pertama; hari-hari yang lebih cerah sedang menanti,” ujar Xi dalam suratnya.

Mengambil inspirasi daripada kata-kata Xi ini, He Shancong, timbalan pengurus besar Biro Bekalan Kuasa Gongshan cawangan Nujiang China Southern Power Grid berikrar untuk bersama-sama membangunkan kampung halaman mereka dan menjaga kawasan sempadan, demi “mencipta masa depan yang lebih baik dengan tangan sendiri”.

Video

Berita Berkaitan