Beijing Ubah Bahan Kitar Semula Jadi Bangku Awam

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 26 November 2026

Seorang pelawat belajar tentang proses kitar semula sisa plastik pada Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2024 di Pusat Konvensyen Negara China, Beijing, 14 September 2024. (Xinhua/Wu Qinghao)

Seorang pelawat belajar tentang proses kitar semula sisa plastik pada Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2024 di Pusat Konvensyen Negara China, Beijing, 14 September 2024. (Xinhua/Wu Qinghao)

Sejak awal tahun ini, Beijing telah memasang 48 bangku mesra alam yang dibuat daripada bahan yang dikitar semula di 26 ruang awam sebagai sebahagian usaha ibu negara menggalakkan pengisihan sisa dan membina sebuah ekonomi kitaran.

Bangku berkenaan datangnya dalam dua jenis. “Bangku awan” diperbuat daripada bahan polipropilena seperti bekas makanan dan cawan plastik yang telah dibasuh, dihancurkan, diubah suai, lalu dibentuk dengan acuan suntikan. Setiap satu mengandungi bahan daripada kira-kira 1,000 bekas makanan. “Bangku papan” pula dibuat daripada kotak susu yang diisih, dibuang lapisan aluminium dan plastik, dan dihancurkan sebelum ditekan panas menjadi papan komposit kitar semula.

Setiap bangku dipasang tanda menjelaskan asal usul bahan kitar semula yang digunakan serta kuantitinya.

Difahamkan, Beijing pada tahun-tahun kebelakangan ini telah memperluas sistem kutipan bahan kitar semula, menghubungkan lokasi pusat serahan kawasan kejiranan, stesen pemindahan dan pusat pengisihan supaya bahan kitar semula yang rendah nilai seperti bekas makanan dan cawan plastik dapat dikutip, diangkut dan diproses. Rangkaian pengitaran semula bekas makanan ini kini meliputi lebih daripada 20 universiti, taman dan stesen kereta api, selain lebih 140 bangunan dan 11,207 komuniti yang dilengkapi mesin kitar semula.

Beijing turut melancarkan sebuah platform kitar semula atas talian meliputi seluruh bandar, yang membolehkan penduduk memanggil perkhidmatan pengambilan pintu ke pintu untuk perabot lama, sisa pembinaan dan perkakas terpakai, di samping menyiarkan harga untuk bahan kitar semula seperti kertas, plastik, besi dan tekstil.

“Yang penting ketika membina sebuah rantaian kitar semula yang lengkap bukanlah menjadikan produk akhir bahan pameran, tetapi memberikan penduduk maklum balas apabila mereka mengisih dan membolehkan mereka melihat hasilnya di ruang awam, supaya pengisihan dapat terus diubah menjadi sumber,” kata Liu Jie, pegawai dari suruhanjaya pengurusan bandar Beijing.

Menurut suruhanjaya itu, Beijing akan menambah lagi bangku seumpama di lebih banyak tempat, termasuk menaiktarafkan kawasan kejiranan, menambah baik taman dan kawasan komersial dengan laluan jalan kaki dan basikal yang lebih elok, sambil terus memperkukuh sistem kutipan bahan kitar semulanya.

Video

Berita Berkaitan