Mesyuarat COP14 Labuh Tirai Dengan Penuh Keberhasilan

(CRI)Isnin 14 November 2022

Mesyuarat ke-14 Persidangan Pihak-Pihak Pemeterai Konvensyen Ramsar mengenai Tanah Lembap (COP14) berakhir di Wuhan pada Ahad, menyaksikan dunia terus maju mengorak langkah dalam pemuliharaan kawasan paya.

Difahamkan, dua pencapaian penting berjaya digapai iaitu Rangka Kerja Strategik Global 2025-2030 untuk Pemuliharaan Tanah Lembap serta Perisytiharan Wuhan.

Menurut rangka kerja itu, tumpuan akan diberikan kepada usaha memelihara dan memulihkan kesuburan tanah lembap ke arah pembangunan lestari, serta sinergi global untuk menangani cabaran alam sekitar.

Sementara itu, kolaborasi antarabangsa akan terus dipergiat membabitkan pembinaan keupayaan dalam pemuliharaan sumber berkenaan serta perkongsian teknologi.

Penggubalan pelan strategik itu akan diselaraskan sepenuhnya dengan perkembangan terkini seperti Agenda Pembangunan Mampan 2030, Rangka Kerja Biodiversiti Global, Matlamat Perubahan Iklim dan Pelan Tindakan Dekad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pemulihan Ekosistem.

Mesyuarat berkenaan turut meluluskan sebanyak 21 resolusi dan tiga daripadanya dicadangkan China, iaitu ‘Penubuhan Pusat Bakau Antarabangsa’, ‘Pemuliharaan Tanah Lembap Diintegrasikan dalam Strategi Pembangunan Mampan Negara’ dan ‘Perkukuh Pemeliharaan serta Pengurusan Tanah Lembap Kecil dan Mikro’.

Dalam perkembangan lain, China dipilih menjadi pengerusi Jawatankuasa Tetap semasa sidang ke-61 Konvensyen Ramsar, membolehkan negara itu menerajui proses konvensyen berkenaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan