Impian Bola Sepak Semarak di Dataran Tinggi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 29 November 2022

Daerah Qumalai di bandar Yushu, provinsi Qinghai, terletak di tengah-tengah Taman Negara Sanjiangyuan dengan purata ketinggian 4.5 kilometer dari paras laut dan purata suhu negatif 3.3 darjah Celsius. Tempat ini diliputi salji memutih sepanjang tahun dengan musim sejuk selama 120 hari.

Sebiji bola sepak, sekumpulan sahabat berkongsi minat, sehamparan padang rumput; cukuplah untuk membakar semangat budak-budak yang membesar di dataran tinggi ini agar mengejar impian menjadi pemain bola sepak profesional. Rasa cinta mereka terhadap sukan tersebut tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Suatu hari di hujung bulan Julai, Duoguo yang berusia 12 tahun berkejar pulang dari sekolah rendahnya lantas segera menyiapsediakan but bola sepak, yang diletakkannya di tepi katil. Sebelum sempat ditanya oleh ibunya, Duoguo dengan teruja memberitahu dia akan berangkat ke Suzhou bersama-sama pasukannya untuk menyertai Temasya Bola Sepak Sekolah Rendah Kebangsaan (U12) ‘Piala 2034’.

Duoguo, pencinta bola sepak. (Gambar disediakan oleh pihak yang ditemu duga)

Duoguo, murid gred enam di Sekolah Rendah Kebangsaan ke-2 daerah Qumalai, menggunakan nama ‘Budak Pencinta Bola Sepak’ untuk akaun Wechatnya. Walaupun biasanya pemalu dan pendiam, namun jika ditanya tentang bola sepak, Duoguo tidak segan-silu untuk bercakap tentang sukan kegemarannya itu.

Jika dibandingkan dengan rakan-rakannya, Duoguo tidak begitu tinggi dan agak kurus, tetapi apabila turun ke padang, dia cukup handal bermain.

‘Piala 2034’ yang berlangsung di bandar Suzhou menyaksikan penyertaan seramai 1,300 pemain dari 64 pasukan. Menempuh perjalanan lebih 3,100 kilometer jauhnya, Duoguo dan rakan-rakan buat pertama kalinya turun dari dataran tinggi, menaiki kereta api dan kapal terbang, untuk bertanding dengan pasukan bola sepak dari seluruh negara. Semua ini membuat mereka gugup dan juga teruja. Pada majlis perasmian, pasukan Duoguo iaitu Crius, turut menyanyikan lagu Fly.

Pasukan Yushu menyanyikan lagu Fly. (Gambar oleh Cheng Linpeng)

Namun, perjalanan yang dinanti-nantikan mereka tidak lancar. Cuaca di bandar Suzhou agak berbeza dengan di daerah Qumalai. Duoguo dan rakan-rakannya tidak biasa dengan keadaan setempat, sedangkan pihak lawan merupakan pemain-pemain paling unggul dari seluruh negara yang mendapat latihan dan kelengkapan profesional.

Dalam enam perlawanan, mereka hanya meraih satu kemenangan. Tatkala wisel berbunyi menandakan tamatnya permainan, air mata jatuh menitis.

Pasukan Yushu dalam perlawanan. (Gambar oleh Sun Hai)

Bagi Duoguo, perjalanan ke Suzhou satu latihan dan juga pengajaran, “Saya dapat lihat jurang antara kami dan pemain lain, dan mengetahui hala tuju kami pada masa depan.”

Cuaca yang buruk, udara yang nipis serta latihan yang kurang profesional menjadi rintangan bagi budak-budak dataran tinggi untuk mara ke pentas lebih besar. Namun mereka tidak pernah putus asa. Selepas balik ke kampung, Duoduo dan rakan-rakannya meneruskan latihan dalam persekitaran yang cukup mencabar, memanfaatkan setiap peluang yang ada.

Budak-budak berlatih dalam kesejukan. (Gambar oleh Sun Hai)

Di atas dataran tinggi yang altitudnya 4.5 kilometer ini, banyak lagi budak pencinta bola sepak seperti Duoguo yang menanam aspirasi menggunung.

“Idola saya adalah Kylian Mbappé, saya akan meneladannya dan terus bermain.”

“Impian saya adalah melayakkan diri ke pasukan negara.”

“Saya ingin bermain di arena Piala Dunia seperti Messi.”

“Saya akan gigih berlatih dan berusaha membanggakan negara.”

Impian bola sepak terus bersemarak di tempat yang sejuk ini.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan