China Perkenal Pelbagai Inisiatif Jana Perbelanjaan Domestik

(CRI)Jumaat 30 Disember 2022

China akan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memulihkan dan memperluas perbelanjaan domestik, di samping mempertingkatkan peranan asas perbelanjaan dalam pembangunan ekonomi, menurut Kementerian Perdagangan (MOFCOM).

Inisiatif berkenaan selaras dengan penekanan Persidangan Kerja Ekonomi Pusat yang meletakkan pemantapan permintaan domestik sebagai keutamaan kerja ekonomi tahun depan.

Sebagai tunggak pasaran perbelanjaan, automobil, alatan dan kelengkapan rumah serta katering menyumbang kira-kira satu perempat daripada jumlah keseluruhan jualan runcit barang pengguna di China.

Menurut MOFCOM, fokus pada tahun depan adalah menstabilkan perbelanjaan auto, menyokong pembelian dan penggunaan kenderaan tenaga alternatif, serta mendinamikkan pasaran kereta terpakai.

Usaha akan dipergiatkan untuk mengembangkan sektor-sektor seperti katering, menggalakkan perbelanjaan alatan dan kelengkapan rumah, selain mempromosikan alatan rumah hijau dan pintar di kawasan desa.

Pada masa sama, perbelanjaan model baharu juga akan digerakkan secara bersepadu.

Untuk rekod, perkadaran jualan runcit barangan fizikal dalam talian daripada keseluruhan jualan runcit barangan pengguna mencatat 27.1 peratus dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

Pada fasa seterusnya, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan untuk memacu perkembangan format dan model perniagaan baharu secara sihat dan teratur, mempercepat transformasi digital perkhidmatan kehidupan, serta menggalakkan integrasi perkhidmatan secara dalam dan luar talian. 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan