Jepun Digesa Bertindak Baiki Hubungan dengan China

(CRI)Isnin 20 Februari 2023

Jepun digesa bertindak sehaluan dengan China bagi memastikan hubungan dua hala terus berkembang mantap di landasan yang betul.

Demikian ujar Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Wang Yi ketika bertemu dengan Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi sempena Persidangan Keselamatan Munich pada Sabtu.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-45 pemeteraian Perjanjian Kedamaian dan Persahabatan China-Jepun.

Wang berkata Jepun harus mengambil peluang ini untuk merenung iktibar daripada sejarah, menyingkirkan gangguan dalaman dan luaran, dan bergerak sehaluan bersama China.

"Amalan unilateralisme dan cubaan cantas hubungan tidak sejajar dengan kepentingan mana-mana pihak.”

"Jepun patut memahami situasi semasa dan membuat pilihan secara bebas," kata Wang.

Menyentuh rancangan Jepun berhubung pelepasan sisa air nuklear, Wang menekankan negara itu perlu mengendalikan isu berkenaan secara berhemat kerana ia berkait rapat dengan persekitaran laut dan kesihatan penduduk pelbagai negara.

Dalam pada itu, Hayashi berkata kolaborasi Jepun-China adalah penting bagi pembangunan dan kemakmuran satu sama lain.

"Jepun bersedia bersama China melaksanakan sepenuhnya konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara."

"Jepun juga ingin meningkatkan komunikasi dan dialog di semua peringkat dengan China, di samping memperkasakan kerjasama ekonomi dan interaksi dalam kalangan belia," katanya.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan