Wang Yaping, Penyemai Impian Jelajah Angkasa Lepas

(CRI)Khamis 09 Mac 2023

Wang Yaping, anggota Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) merupakan angkasawan wanita pertama China yang berjaya menyelesaikan aktiviti luar kenderaan (EVA).

Beliau turut menjadi 'guru angkasa lepas' pertama yang menyampaikan 'Kuliah Tiangong' di ruang angkasa ketika mengendalikan misi penerbangan kapal angkasa Shenzhou-10 pada Jun 2013.

Dalam tempoh sedekad lalu, Wang menyertai hampir 100 kali syarahan, kuliah dan sesi interaksi yang membolehkan golongan belia mendalami pengetahuan sains.

Beliau turut teruja apabila melihat kaum belia menunjukkan minat menebal terhadap pengetahuan sains serta aspirasi mereka untuk menjelajahi ruang angkasa lepas.

Selaku anggota CPPCC, beliau memfokuskan kepada usaha memperkasa pendidikan sains dalam kalangan belia.

Daripada modul eksperimen Tiangong-1 kepada stesen angkasa lepas, projek penerbangan angkasa lepas bermanusia China sentiasa dikaitkan dengan pendidikan sains.

Dalam pada itu, 'Kuliah Tiangong' menjadi platform utama untuk menyebar luas ilmu pengetahuan tentang ruang angkasa lepas, serta mencetuskan aspirasi menjelajahi angkasa.

Semasa menjalankan misi penerbangan Shenzhou-13 pada Oktober 2021, Wang bersama dua angkasawan lain iaitu Zhai Zhigang dan Ye Guangfu berkuliah sebanyak dua kali yang mendapat sambutan menggalakkan daripada belia.

Di kala masa lapang, Wang selalu mengunjungi sekolah rendah dan menengah untuk meninjau perkembangan terkini program pendidikan sains.

Selepas berbual-bual dengan guru dan pelajar, beliau mendapati bahawa bagaimana mengaplikasikan teknologi baharu dan media baharu dalam pendidikan sains merupakan antara perkara yang diberi perhatian para pendidik.

Susulan itu, Wang menzahirkan harapan supaya platform, sumber dan sistem yang lebih baik disediakan untuk memantapkan pendidikan sains pada masa hadapan.

Beliau turut mengesyorkan agar usaha memupuk bakat dalam pendidikan sains terus dipertingkat, dan teknologi baharu dimanfaatkan untuk kerja menyebarkan ilmu pengetahuan sains.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan