Xi, Putin Mahu Selesaikan Krisis Ukraine Melalui Rundingan Damai

(CRI)Rabu 22 Mac 2023

Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin bersama-sama menandatangani Kenyataan Republik Rakyat China dan Persekutuan Rusia bagi Memperdalam Hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif bagi Koordinasi pada Era Baharu, di Istana Kremlin, pada Selasa.

Mengenai isu Ukraine, kedua-dua pemimpin dengan senada berpendapat bahawa visi dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) patut ditaati, dan undang-undang antarabangsa perlu dihormati.

Dalam kenyataan tersebut, Rusia menilai positif pendirian China yang objektif dan adil berhubung isu Ukraine.

Pada masa sama, kedua-dua negara menentang sebarang negara atau blok negara menjejaskan keselamatan rasional negara lain dengan tujuan memperoleh kepentingan sendiri termasuk dalam bidang ketenteraan dan politik.

Sementara itu, Rusia menegaskan bahawa pihaknya akan berusaha untuk menyambung semula rundingan damai dengan secepat mungkin dan ini turut disambut baik oleh pihak China.

China turut dialu-alukan oleh Rusia untuk memainkan peranan positif untuk menyelesaikan krisis Ukraine melalui cara politik dan diplomatik serta memberi cadangan bersifat membina dalam dokumen "pendirian China untuk menyelesaikan krisis Ukraine".

Menurut kedua-dua pemimpin, penyelesaian krisis Ukraine perlu menghormati keprihatinan keselamatan yang munasabah pelbagai negara, selain mengelakkan konfrontasi kem dan tindakan'mencurah minyak ke dalam api'.

Xi dan Putin berpendapat bahawa dialog yang bertanggungjawab merupakan cara yang paling baik untuk menyelesaikan isu secara mantap dan ia perlu disokong oleh masyarakat antarabangsa.

Pada masa sama, China dan Rusia menyeru sebarang tindakan yang meruncingkan situasi dan melanjutkan peperangan patut dihentikan agar mengelakkan krisis menjadi lebih serius malah hilang kawalan.

Selain itu, kedua-dua pihak menyatakan menentang segala sekatan sepihak tanpa mandat Majlis Keselamatan PBB.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan