Heilongjiang Teruskan Momentum Olimpik Musim Sejuk

Heilongjiang Teruskan Momentum Olimpik Musim Sejuk
Ekspo Ais & Salji Harbin 2023 telah diadakan pada 17-19 Mac 2023. (People's Daily Online/Su Jinggang)

Setahun telah berlalu sejak Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 melabuhkan tirainya. Namun begitu, kesannya masih jelas dirasai, sepertimana yang dinampakkan pada Ekspo Ais dan Salji Harbin 2023.

Ekspo tiga hari itu, yang bermula pada hari Jumaat menampilkan lebih 3,000 jenis produk sukan musim sejuk dan 500 syarikat berkaitan dari 19 negara dan wilayah termasuk Rusia, Perancis, Sepanyol dan Kanada. Kedua-duanya mencatat rekod tertinggi dalam sejarah Ekspo.

Menurut orang dalam, keghairahan pempamer dari dalam dan luar negara mencerminkan prospek cerah industri sukan musim sejuk China dalam era pasca Olimpik.

Berkat semarak yang dicetuskan oleh Sukan Olimpik di China, orang tempatan telah menerima acara ais dan salji dengan penuh semangat pada musim sejuk lalu, diserlahkan lagi dengan kesibukan di gelanggang luncur, pusat peranginan ski dan karnival sukan musim sejuk di seluruh negara.

Beijing, Hebei, Jilin dan Heilongjiang mempunyai bilangan pemain ski paling ramai. Pusat Peranginan Ski Yabuli, tiga jam perjalanan dari Harbin, telah menerima lebih 195,000 pelawat setakat ini.

"Salji debu di Yabuli dikatakan sangat bagus, jadi saya datang ke sini untuk lawatan ski," kata Dai Meiling, seorang pencinta ski dari Guangdong di selatan China.

Yabuli bukan satu-satunya kawasan yang mempamerkan potensi pasaran yang besar untuk industri ais dan salji China.

Snow Town Resort, dahulunya sebuah ladang hutan yang terletak 280 kilometer dari Harbin, terkenal dengan pemandangan salji yang menakjubkan dan musim salji yang panjang. Salji di kawasan ini boleh bertahan sehingga tujuh bulan. Menurut pengurus resort Wen Guoliang, lebih 300,000 orang telah melawat Snow Town Resort sejak dibuka pada Disember tahun lepas.

Ren Xiaotong, pegawai kanan di Kolej Sukan Gunung Antarabangsa Yabuli Sunshine Resort menyifatkan ledakan dalam bilangan orang China yang belajar bermain ski sebagai satu kesinambungan bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, juga kesan daripada peningkatan taraf hidup.

"Semakin ramai orang China yang berminat untuk mencuba ski, misalnya pelancong dari Shanghai, Guangzhou dan tempat-tempat lain. Hal ini meningkatkan keyakinan kami terhadap kemajuan pada masa akan datang,” kata Ren.

Pada tahun 1950-an, sekolah-sekolah di Heilongjiang telah digalakkan untuk membina gelanggang ais dan membangunkan sukan ais. Hasilnya, pasukan sukan ais telah ditubuhkan di seluruh provinsi, dengan pasukan dari Harbin dan Qiqihar mendominasi pertandingan hoki kebangsaan selama beberapa dekad.

Dengan profil sukan musim sejuk mencapai tahap paling tinggi di China, pihak berkuasa sukan negara menyeru untuk membanyakkan penyertaan dalam aktiviti ais dan salji.

"Kita harus meneroka laluan baharu untuk mempopularkan sukan musim sejuk di sekolah-sekolah di seluruh negara dan menyediakan lebih banyak bimbingan dan perkhidmatan profesional untuk peminat muda," kata Gao Zhidan, pengarah Pentadbiran Am Sukan China, di luar sesi pertama Kongres Rakyat Kebangsaan ke-14 awal bulan ini.

Menurut rancangan kerajaan, 5,000 sekolah di seluruh China dijangka memasukkan sukan musim sejuk dalam kurikulum mereka menjelang akhir 2025.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk bakat ski yang lebih muda, Yabuli Ski Resort menawarkan mereka yang di bawah umur 18 dan tinggal di Heilongjiang akses percuma ke lereng luncur dan skinya pada bulan Mac.

Menurut Xie Fang, pegawai di Biro Sukan Harbin, Heilongjiang sedang mempertimbangkan kemungkinan membida penganjuran acara sukan musim sejuk antarabangsa.

"Pembidaan dan penganjuran acara sukan berskala besar boleh merangsang penggunaan, memudahkan pembangunan sektor perkhidmatan dan meningkatkan reputasi global Harbin," kata Xie.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan