Xi Beri Arahan kepada Shaanxi dalam Landskap Pembangunan Kebangsaan

(CRI)Khamis 18 Mei 2023

Presiden China, Xi Jinping memberi arahan kepada provinsi Shaanxi yang terletak di barat laut China, iaitu bersemangat gigih melakar pencapaian dalam landskap pembangunan kebangsaan, dan giat memainkan peranan ikonik dalam pembinaan modenisasi ala China di kawasan bahagian barat.

Xi yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), berkata demikian pada Rabu selepas mendengar laporan kerja yang dibentangkan jawatankuasa PKC di Shaanxi dan kerajaan provinsi menjelang Sidang Kemuncak China-Asia Tengah yang bakal berlangsung di bandar Xi’an, ibu kota provinsi Shaanxi.

Dalam ucapan beliau, Xi menggalakkan provinsi Shaanxi berusaha memperjuangkan matlamat baharu dalam merancakkan inovasi sains dan teknologi serta membentuk sistem industri moden.

“Usaha diperlukan untuk membina Pusat Sains Negara Xi'an yang komprehensif dan Pusat Inovasi Sains dan Teknologi, beserta pusat penyelidikan saintifik, kebudayaan dan pendidikan, pangkalan industri berteknologi tinggi dan industri pembuatan di peringkat kebangsaan,” kata Xi.

Xi juga menekankan peri pentingnya untuk mendorong pembangunan seimbang antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar.

“Hendaklah mendorong pembinaan urbanisasi model baru melalui pembangunan kota dan pekan kecil dengan memanfaatkan sumber asli tempatan dan membangunkan industri bercirikan tempatan,” katanya.

Ketika menyebut tentang usaha perlindungan ekologi alam sekitar, Xi turut menekankan peri pentingnya untuk memelihara ekologi di lembangan Sungai Kuning yang disifatkan sebagai “sungai ibunda” bangsa China dan menyempurnakan mekanisme perlindungan Banjaran Qinling yang digelar sebagai “Menara Air Pusat” di negara ini.

"Usaha perlu ditingkatkan untuk menggalakkan transformasi dan pembangunan sosioekonomi yang hijau serta meningkatkan tahap pembinaan tamadun ekologi," katanya.

Selain itu, Xi juga memberi arahan tentang peningkatan tahap keterbukaan di provinsi Shaanxi agar kawasan pedalaman dibangun menjadi pentas baharu dalam pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka.

“Provinsi Shaanxi harus giat melibatkan diri dalam pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan, memanfaatkan lokasi strategik bandar Xi’an sebagai hab pengendalian perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah, dan mempercepat langkah dalam membentuk laluan yang menyambungkan negara-negara Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Barat, sekali gus memainkan peranan yang lebih besar dalam menambah kelancaran kitaran domestik-antarabangsa,” kata Xi. 

Dalam perjalanan beliau ke provinsi Shaanxi pada petang Selasa, Xi meluangkan masa membuat tinjauan ke bandar Yuncheng di provinsi Shanxi utara China, dan memilih mengunjungi satu muzium dan tasik garam.

“Usaha perlu diperkasa untuk memajukan projek mengesan asal-usul tamadun China dan penyelidikan sejarah tamadun ini untuk meningkatkan tahap perlindungan dan penggunaan artifak purba dan pewarisan kebudayaan,” kata beliau.

Ketika membuat tinjauan di Tasik Garam Yuncheng yang mempunyai sejarah eksploitasi lebih 4,600 tahun, Xi menyatakan, usaha perlu ditingkatkan untuk memulihara ekologi tasik terbabit agar memastikan nilai-nilai sejarah dan budayanya terpelihara.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan