Ruang Siber Patut Jadi 'Pentas', Bukan 'Medan Perang'

(CRI)Rabu 26 Julai 2023

Keselamatan siber merupakan tunjang kepada keselamatan negara. Justeru, dalam menghadapi cabaran bersama, negara-negara berkaitan perlu meningkatkan komunikasi strategik, menetapkan arah kerjasama dan memelihara kepentingan bersama.

Demikian dikatakan Ketua Pejabat Hal-Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Wang Yi ketika menghadiri mesyuarat Wakil Kanan Negara-negara BRICS bagi Hal Ehwal Keselamatan di Johannesburg, Afrika Selatan pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai isu keselamatan siber, beliau turut mengemukakan empat cadangan, antaranya membina ruang siber yang sama rata serta rasional.

Jelas Wang, masa depan ruang siber dan keselamatan siber perlu dibina dan dipelihara secara bersama-sama oleh pelbagai negara.

"Kita seharusnya melaksanakan multilateralisme yang sebenar serta menyokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan teras dalam tadbir urus ruang siber," ujar beliau.

Selain itu, Wang turut mencadangkan untuk membina ruang siber yang terbuka dan inklusif.

Beliau menyatakan, semua pihak perlu mempertahankan kesamarataan dan keadilan, di samping menentang hegemoni sains dan teknologi serta siber dalam apa jua bentuk.

"Kita patut membina ruang siber yang selamat dan mantap."

"Pelbagai negara perlu mematuhi peraturan dan prinsip Piagam PBB, memboikot dengan tegas perlumbaan senjata siber, menentang niat melaksanakan 'revolusi warna' dalam ruang siber," tambah Wang.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan untuk membina ruang siber yang berdinamik, menjamin keselamatan negara dan kepentingan awam, di samping memanfaatkan peluang digital, memastikan rantaian pengeluaran dan bekalan industri maklumat serta komunikasi sejagat terbuka, selamat dan stabil, selain merangsang potensi dan kedinamikan kerjasama antarabangsa dalam ruang siber.

"China bersedia meningkatkan pertukaran dan kerjasama dengan negara pasaran baharu dan negara membangun, menyumbang kepada pembaharuan sistem tadbir urus siber sejagat dan pembinaan komuniti berkongsi nasib ruang siber," ujar Wang.

Berita Berkaitan