Kereta Api Shenzhen-HK Perkenal Tiket Fleksibel

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 11 Ogos 2023

Penumpang di Stesen Kereta Api Futian di Shenzhen, provinsi Guangdong. (foto: China Daily)

Penumpang di Stesen Kereta Api Futian di Shenzhen, provinsi Guangdong. (foto: China Daily)

China Railway Guangzhou Group dan pihak pengendali kereta api di Hong Kong (HK) mengumumkan bahawa pengguna kemudahan awam itu bakal menikmati faedah menerusi program perjalanan rentas sempadan fleksibel mulai 14 Ogos ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, inisiatif tersebut bertujuan untuk meningkatkan lagi ketersambungan antara HK dan tanah besar China.

Dengan pelancaran inisiatif itu, penumpang yang memegang tiket sah kedua-dua hala Shenzhen-HK kini boleh memohon pertukaran tiket secara percuma pada tarikh berlepas masing-masing sebanyak tiga kali.

Berpandukan kapasiti pengangkutan dan keselamatan, pihak pengendali kereta api juga akan memperuntukkan sejumlah tempat duduk yang tidak ditempah kepada penumpang-penumpang tersebut.

Difahamkan, program tiket fleksibel hanya akan digunakan untuk stesen antara Futian di Shenzhen, provinsi Guangdong dan Kowloon Barat di HK, dan penumpang juga tidak dibenarkan menukar destinasi selepas itu.

China Railway Guangzhou Group dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata bahawa aliran penumpang bahagian Shenzhen-HK kereta api itu meningkat secara berterusan susulan pengoperasian semula kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Guangzhou, Shenzhen dan HK pada awal tahun ini.

Untuk rekod, kini terdapat lebih 180 kereta api beroperasi setiap hari antara Shenzhen dan Kowloon Barat HK, dengan aliran trafik harian mencecah 40,000 penumpang.

Pakar penyelidikan kereta api di Guangzhou, Jin Yibing berkata bahawa terdapat fenomena lawatan dua hala oleh penduduk di Shenzhen dan HK.

Beliau berpendapat bahawa program perjalanan secara fleksibel akan membantu menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih mudah untuk penumpang di kedua-dua bandar itu.

Pengurus Stesen Futian, Zhang Yuxiu memberitahu bahawa pengendali kereta api telah mempercepat dan menaik taraf sistem tiket untuk memenuhi permintaan bagi produk perjalanan yang fleksibel.

Pengerusi Panel Pengangkutan Majlis Perundangan HK, Ben Chan Han-pan pula berkata inisiatif baharu itu akan menjadikan perkhidmatan HSR jarak dekat seakan-akan 'gaya metro', meskipun masih terdapat ruang bagi penambahbaikan.

"Sebagai sebahagian daripada dasar, penumpang mungkin perlu berdiri semasa perjalanan sekiranya kereta api yang dinaiki penuh," ujar beliau.

Pada masa sama, Chan turut memberi penekanan kepada pengendali kereta api tentang kepentingan untuk mengumpul data secara harian berhubung jumlah penumpang yang telah menggunakan perkhidmatan baharu itu.

"Data itu akan memberikan gambaran tentang permintaan penumpang dan membantu meningkatkan mutu perkhidmatan kereta api," tambahnya.

Video

Berita Berkaitan