Pembinaan "Jalan Lingkaran Keenam Timur Bawah Tanah" Beijing Dipercepat

Lebuhraya Lingkaran Keenam Timur Beijing disambungkan ke Lapangan Terbang Ibu Kota Beijing di utara, Lebuhraya Beijing-Harbin dan Lebuhraya Beijing-Tianjin di selatan. Lalu lintas di kawasan ini sangat sibuk setiap hari.

Dalam dua tahun yang lalu, betul-betul di bawah jalan ini, mesin pengorek terowong perisai buatan domestik dengan diameter terbesar telah berjaya menggali Jalan Lingkaran Keenam Timur versi bawah tanah. Pada masa hadapan, kenderaan yang menggunakan laluan ini akan melalui terowong bawah tanah. Jalan utama sedia ada di Jalan Lingkaran Keenam Timur di atas tanah akan dibina menjadi Taman Lingkaran Keenam dan diubah menjadi sistem untuk kenderaan bergerak perlahan, menjadikannya tempat yang selamat untuk penduduk sekitar berjalan dan berbasikal.

Saluran yang sedang dalam pembinaan. (foto/People's Daily Online)

Pembinaan yang sukar

Mengapa Jalan Lingkaran Keenam Timur perlu 'dipindahkah ke bawah tanah'? Chai Dongran, timbalan pengurus besar Pejabat Pengurusan Projek Pembinaan Semula Lingkaran Keenam Timur, Syarikat Pembinaan Pembangunan Pertama berkata: "Asas Jalan Lingkaran Keenam Timur adalah setinggi 26 meter. Pada masa ini, hanya terdapat beberapa jambatan gerudi di kedua-duanya. Ia seperti tembok, membahagikan Beijing kepada dua bahagian, menjejaskan pembangunan dan pembinaan bandar."

Projek pengubahsuaian Jalan Lingkaran Keenam Timur Beijing bertujuan memindahkan Jalan Lingkaran Keenam ke bawah tanah, membuka ruang tanah, dan mengembalikan kawasan hijau kepada rakyat, bagi menyelesaikan masalah ruang pembangunan bandar yang terhad.

Panjang keseluruhan projek pembinaan semula yang bermula dari Lebuhraya Beijing-Harbin di selatan dan berakhir di Jalan Utara Luyuan di utara adalah 16 kilometer. Kira-kira 7.4 kilometer yang akan menjadi laluan keluar masuk segmen bawah tanah itu perlu dibina menggunakan kaedah perisai, yang merupakan salah satu daripada kesukaran utama projek ini.

Menurut laporan, projek pembinaan semula menggunakan kaedah susun atur dua terowong yang berasingan, dan setiap satu selebar 3 lorong, yang dibahagikan kepada 3 tingkat. Lapisan atas adalah saluran ekzos asap, lapisan tengah adalah untuk lalu lintas, dan ruang bawah adalah saluran khas untuk pemindahan dan penyelamatan serta koridor saluran paip. Ini bermakna diameter mesin perisai mesti mencapai 16 meter. Diameter sedemikian tidak pernah dicapai oleh mesin perisai domestik sebelum ini. Atas sebab ini, China Railway 14th Bureau dan China Railway Construction Heavy Industry Co., Ltd. menghabiskan 10 bulan yang dikhususkan untuk projek laluan barat ini bagi menghasilkan "Jinghua", mesin pengorek terowong perisai domestik dengan diameter terbesar.

"Jinghua" mempunyai panjang keseluruhan 150 meter dan berat 4,300 tan. Ia adalah 'raksasa' setinggi hampir 6 tingkat dan kepanjangan 7 gerabak subway. Proses pembuatan melibatkan banyak bidang seperti elektrik, optik, mekanik, serta kejuruteraan awam dan mesin.

Di dalam mesin pengorek terowong perisai "Jinghua", pengendali memindahkan segmen terowong. (People's Daily/Liu Fuchang)

Pembinaan berisiko tinggi

Projek pengubahsuaian Jalan Lingkaran Keenam Timur Beijing mempunyai keperluan yang tinggi dari segi peralatan, dan pembinaannya penuh dengan kesukaran. Titik terendah terowong di sebelah barat ialah 75 meter di bawah tanah. Terdapat 55 faktor yang dikenal pasti sebagai sumber risiko seperti stesen, laluan kereta api, subway, lebuh raya, dan sungai. Risiko penggalian bukan kecil.

Mesin pengorek terowong perisai tidak bergerak dalam garis lurus, sebaliknya dalam bentuk serpentin (berkelok-kelok) di sepanjang paksi terowong, mengakibatkan jurang anulus antara segmen dan lapisan. Ini mungkin boleh menyebabkan terowong mendap dan tanah bergerak. Kapten "Jinghua", Wang Huran berkata, “Oleh itu, semasa proses penggalian, adalah perlu untuk menyuntik bahan buburan yang mencukupi antara segmen yang boleh mengeras secepat mungkin bagi mengisi lopong.”

Cara konvensional untuk membina terowong perisai iaitu grouting atau penurapan segerak menggunakan sluri simen yang memerlukan masa 8 jam untuk mengeras. Dengan kaedah ini, keterapungan segmen paip tidak dapat dikawal dengan berkesan dalam masa yang ditetapkan. Bagi memastikan keselamatan pembinaan, pasukan pembina dan pasukan pakar bekerjasama untuk membangunkan teknologi grouting dua cecair segerak dengan perisai berdiameter super-besar.

Selepas menggunakan teknologi baharu, apabila "Jinghua" bergerak ke hadapan, kedua-dua jenis bahan turap dicampur di belakang ekor perisai melalui 8 lubang grouting, dan dengan cepat disuntik ke dalam jurang anulus di belakang dinding segmen. Ia menjadi likat dalam masa lebih kurang 10 saat sahaja, membentuk kekuatan awal dalam masa 30 minit, dan memejal sepenuhnya dalam 1 jam. Ini membolehkan "dinding gangsa dan dinding besi" dibentuk dengan cepat di pinggir terowong, dan menyediakan "penutup emas" yang lebih kukuh untuk segmen terowong.

Mesin pengorek terowong perisai yang dalam kerja penggalian. (foto/Beijing Daily)

Selepas lebih dua tahun, "Jinghua" berjaya menyelesaikan tugas penggalian terowong barat. Penyiapan terowong ini bermakna pembangunan keseluruhan rantaian industri terowong perisai berdiameter ultra-besar di negara China telah mencapai tahap baharu, dan ia membuka laluan baharu untuk menyelesaikan masalah ruang pembangunan bandar yang sebelum ini terganggu.

Langkah seterusnya ialah menyiapkan baki pembinaan struktur konkrit cast-in-situ di dalam terowong, membina kelengkapan berkaitan, meletakkan lapisan perata jalan dan lapisan asfalt, dan akhirnya menjalankan pemasangan elektromekanikal seperti bekalan elektrik arus kuat dan lemah, keselamatan lalu lintas, dan perlindungan kebakaran. Projek dijadualkan siap dan dibuka kepada lalu lintas pada hujung tahun depan.

Pada masa ini, mesin pengorek terowong perisai "Jinghua" sedang dileraikan dan akan menjalani pemeriksaan menyeluruh, penyelenggaraan dan pengubahsuaian untuk projek seterusnya.

Video

Berita Berkaitan