China Bakal Lancar Empat Pesawat Angkasa Lepas Tahun Depan

(CRI)Jumaat 01 September 2023

Pejabat Projek Angkasa Lepas Pembawa Angkasawan China pada Khamis memaklumkan bahawa pesawat angkasa lepas kargo Tianzhou-7, Tianzhou-8, serta pesawat angkasa lepas pembawa angkasawan Shenzhou-18 dan Shenzhou-19 akan dilancarkan pada tahun depan.

Menurut agenda tugasan penerbangan tahunan 2024, Tianzhou-7 dan Tianzhou-8 akan dilancarkan di Pusat Pelancaran Angkasa Lepas Wenchang, Hainan untuk membawa barang keperluan angkasawan, barang keperluan tugasan aktiviti luar kenderaan (EVA), kelengkapan dan bahan pendorong untuk memastikan keselamatan operasi, pelbagai muatan dan sampel bagi kegunaan ke angkasa lepas, selain turut akan membawa pulang sampah yang terapung di laluan orbit.

Selain itu, kapal pembawa angkasawan Shenzhou-18 dan Shenzhou-19 yang bakal dilancarkan di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan pula akan menghantar dua kru yang masing-masing terdiri daripada tiga orang angkasawan. Tugasan utama mereka termasuk melakukan EVA, menjalankan eksperimen sains dan ujian teknologi angkasa lepas serta aktiviti penting lain seperti pendidikan.

Pada hari sama, pejabat tersebut juga mengeluarkan pengumuman untuk mengumpul secara terbuka empat logo misi penerbangan hingga 30 September akan datang. Individu atau pertubuhan dialu-alukan menyertai kempen tersebut, dan pihak yang terpilih akan dijemput ke tapak pelancaran untuk menyaksikan misi pelancaran pesawat angkasa lepas.

Video

Berita Berkaitan