China Perinci Pelan Pendaratan Angkasawan di Bulan

(CRI)Khamis 13 Julai 2023

Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA) pada Rabu mengumumkan butiran rancangan bagi misi pendaratan angkasawan China ke bulan sebelum 2030 untuk tujuan penerokaan saintifik.

Mengikut rancangan, dua roket pembawa dilancar untuk menghantar pendarat bulan dan kapal angkasa bermanusia ke orbit bulan secara berasingan, manakala angkasawan akan memasuki pendarat selepas ia dicantum dengan kapal angkasa di orbit yang disasarkan.

Apabila pendarat turun dan mendarat di kawasan pratetap di permukaan bulan, angkasawan akan menjalankan tugas saintifik dan mengumpul sampel.

Selepas menyelesaikan tugas yang dirancang, angkasawan akan kembali ke pendarat, yang juga akan membawa mereka kembali ke orbit bulan untuk berlabuh dengan kapal angkasa.

Pada langkah terakhir, kapal angkasa akan menerbangkan angkasawan kembali ke Bumi dengan membawa sampel bulan.

Demi menjayakan rancangan berkenaan, ahli penyelidik China sedang mengusahakan pembangunan roket pembawa Long March-10, kapal angkasa bermanusia generasi baharu, pendarat bulan, sut angkasa lepas untuk pendaratan di bulan, dan kenderaan perayau bulan.

Timbalan Ketua Pereka CMSA, Zhang Hailian berkata roket pembawa Long March-10 dengan diameter badan bersaiz lima meter itu mempunyai kapasiti sehingga 27 tan.

"Kapal angkasa generasi baharu terdiri daripada tiga bahagian, iaitu ruang keluar kecemasan (escape tower), kapsul masuk semula dan kapsul perkhidmatan."

"Kapal berkenaan diintegrasikan reka bentuk modul yang dapat memenuhi keperluan penerokaan berhampiran Bumi dan angkasa lepas dalam," kata beliau.

Menurut Zhang, pendarat bulan mempunyai dua segmen membabitkan kenderaan pendaratan dan alat pendorong, yang boleh menghantar dua angkasawan ke permukaan bulan secara serentak.

Selain itu, sut angkasa lepas yang sedang dibangunkan untuk pendaratan di bulan menampilkan fungsi yang lebih baik dalam memudahkan angkasawan berjalan, memanjat, mencangkung, memandu dan mengendalikan kenderaan.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan