Ayuh, Kita Tengok Harimau Bintang Salji!

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 18 Disember 2023

Nama saya Tsewang Dorje. Saya ketua kampung Angsai, kaunti Zadoi, Daerah Autonomi Yushu, provinsi Qinghai.

Kampung Angsai terletak di punca Sungai Lancang. 70% daripada keluasannya adalah padang rumput alp dan hutan gunung. Tempat ini salah satu habitat penting harimau bintang salji, binatang dilindungi negara peringkat pertama, maka juga dikenali sebagai “Kampung Halaman Harimau Bintang Salji”. Ia juga kawasan teras Taman Negara Sanjiangyuan.

Pada tahun 2016, taman negara pertama di China ditubuhkan di Sanjiangyuan. Kampung Angsai juga terlibat. Mulai tahun 2018, kami telah memilih dan melatih beberapa keluarga untuk melayan pengunjung. Latihan tersebut termasuk juga menyampaikan kepentingan menjaga ekologi kepada para pelancong. Mereka akan menawarkan penginapan kepada pelancong dan menjadi pemandu.

45% daripada pendapatan yang dijana diberikan kepada keluarga yang memberi perkhidmatan, 45% lagi dimasukkan ke dalam tabung kampung, dan 10% dimasukkan ke dalam tabung pemuliharaan haiwan liar.

Sejak pelancongan mula berkembang di kampung kami, kehidupan penduduk telah banyak berubah. Rumah mereka telah diubah suai untuk melayan pelancong dan lebih bergaya Tibet. Kini terdapat 22 keluarga yang menawarkan perkhidmatan pelancongan, menjana pendapatan melebihi 2 juta yuan.

Bukan sekadar pendapatan yang bertambah, mereka juga dapat berkenalan dengan banyak kawan baharu. Keluarga Qiuzhou Bamao antara yang paling awal menceburi pelancongan di kampung Angsai. Di rumah Qiuzhou Bamao tergantung satu karya yang dilukis oleh seorang pelukis ternama Amerika Syarikat yang pernah menginap di rumahnya.

Para penduduk yang dulu mencari rezeki dengan menggembala kini bergantung pada pelancongan yang lebih mesra alam dan menguntungkan, membuat kami sedar bahawa air jernih dan gunung hijau ibarat gunung emas dan perak.

Pada masa kelak, kami akan terus menjaga sungai dan hutan di Angsai. Selamat datang ke kampung halaman kami, Angsai!

Video

Berita Berkaitan