NEV China Sumbang kepada Mobiliti Lebih Hijau di Indonesia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 04 Januari 2024
NEV China Sumbang kepada Mobiliti Lebih Hijau di Indonesia
Foto fail tanpa tarikh ini menunjukkan barisan pemasangan SAIC-GM-Wuling di Liuzhou, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi di selatan China. (Foto/Xinhua)

Liuzhou, sebuah bandar yang terkenal kerana penghasilan kereta di China, turut merupakan ‘rumah’ kepada syarikat automotif terkenal seperti SAIC-GM Wuling.

Dengan kerjasama pihak kerajaan, syarikat-syarikat tersebut sedang giat berusaha membangunkan model baharu yang menggabungkan promosi dan penggunaan kenderaan tenaga baharu (NEV) seiring dengan pertumbuhan industri.

Di Liuzhou, NEV yang kecil dan ringan boleh didapati di serata tempat, dan juga menjadi tarikan popular bagi pengunjung.

Ketika ini, pengeluar kereta yang berpangkalan di Liuzhou sedang memasuki pasaran luar negara.

Indonesia, ekonomi terbesar dalam kalangan negara ASEAN, merupakan rakan kongsi penting dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Sejak 2015, SAIC-GM-Wuling telah melaburkan sebanyak 1 bilion dolar Amerika di Indonesia bagi mewujudkan taman perindustrian automotif yang memenuhi permintaan pasaran Indonesia dan Asia Tenggara.

SAIC-GM-Wuling telah berkongsi teknologi dengan anak syarikat di Indonesia seperti kenderaan hubung segalanya (V2X), suara pintar, dan sistem bantuan pemandu lanjutan. Ini secara tidak langsung telah membantu dalam pembangunan rantaian bekalan dan mewujudkan sekitar 8,000 peluang pekerjaan di Indonesia.

Air EV, iaitu kenderaan elektrik yang dikeluarkan oleh SAIC-GM-Wuling untuk pasaran global dan pendahulunya, Wuling Hongguang Mini EV yang berasal dari Liuzhou, Guangxi berjaya meraih populariti dalam kalangan pengguna global berikutan badan yang kompak dan ringan, reka bentuk yang bergaya dan harga yang berpatutan.

Pada Ogos 2022, Wuling Air EV pertama dibuat di Indonesia dan seterusnya menerima maklum balas positif daripada pengguna tempatan yang berpandangan bahawa harga yang ditawarkan adalah kompetitif bagi NEV. Selain itu, prestasi dan penampilannya yang praktikal turut menjadikannya model kereta yang luar biasa.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta pada September lalu, sejumlah 150 NEV Wuling Air EV yang dikeluarkan oleh anak syarikat Indonesia bagi pengeluar kereta China SAIC-GM-Wuling, telah digunakan untuk membawa para delegasi.

Kenderaan yang dihiasi dengan reka bentuk unik yang mempamerkan logo sidang kemuncak dan corak budaya tempatan itu sekali gus menarik minat ramai orang.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama jenama NEV China hadir pada persidangan antarabangsa. Pada 2022, semasa Sidang Kemuncak G20 ke-17 di Bali, Indonesia, 300 EV Wuling Air turut digunakan sebagai kenderaan rasmi, menawarkan perkhidmatan pengangkutan untuk peserta.

Dengan kerjasama perdagangan dan pelaburan yang semakin mendalam antara China dan Indonesia, kedua-dua negara akan terus berusaha untuk mencapai sinergi yang lebih besar dalam industri hijau termasuk pembuatan NEV.

Video

Berita Berkaitan