EV Pertama Dikilangkan di Thailand Siap Dipasang

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 15 Januari 2024
EV Pertama Dikilangkan di Thailand Siap Dipasang
Pekerja bekerja di kilang Great Wall Motors (GWM) di Rayong, Thailand, 12 Januari 2024. (Xinhua/Wang Teng)

Pembuat kereta Great Wall Motors (GWM) China menyaksikan kenderaan elektrik (EV) pertama meninggalkan barisan pengeluaran di Thailand Jumaat lepas, menandakan satu kemajuan besar sebagai unit sulung kenderaan elektrik penuh keluaran tempatan.

GWM, pengilang SUV dan pikap terbesar China yang memiliki jenama-jenama seperti HAVAL, ORA, Tank dan WEY, memulakan operasi pengeluaran kereta di kilang Rayong, Thailand pada November 2020.

Model EV ORA Good Cat keluaran GWM serta-merta menjadi popular dalam kalangan pengguna Thailand, terbukti dengan jumlah jualan yang melebihi 11,000 unit sejak pelancarannya di pasaran negara itu pada Oktober 2021.

Menteri Industri Thailand, Pimphattra Wichaikul menyatakan bahawa GWM ialah satu daripada dua syarikat paling awal menandatangani perjanjian menyokong dasar kerajaan untuk menggalakkan penggunaan EV.

Beliau menambah, kementeriannya bersedia untuk terus menyokong industri EV, memajukan Thailand sebagai pangkalan pengeluaran EV serta komponen berkaitan di rantau ASEAN, dan menggalakkan pembangunan secara mampan di peringkat global.

Sejak sekian lama lagi Thailand telah memainkan peranan sebagai pangkalan pengeluaran kenderaan utama di Asia Tenggara kerana kelebihan-kelebihan yang dimiliki dari segi rantaian industri dan kedudukan geografi. Di bawah program penggalakan pelaburan yang diperkenalkan oleh kerajaan, negara itu menyasarkan pengeluaran EV pada kadar 30 peratus daripada keseluruhan kenderaan yang dikilangkan menjelang tahun 2030.

“Sejak memasuki pasaran Thailand, GWM telah giat membantu Thailand membina hab EV yang sejajar dengan sasaran kerajaan. Pelancaran ORA Good Cat menerusi barisan pengeluaran tempatan menjadikan Thailand pasaran asing pertama bagi GWM untuk memulakan pengeluaran setempat model EV kami,” kata Clyde Cheng, presiden GWM ASEAN.

Beliau turut berkata bahawa perkembangan ini juga menunjukkan peri pentingnya Thailand dalam strategi global GWM, dan akan melonjakkan negara itu ke status hab utama bagi pembuatan EV di rantau tersebut.

Video

Berita Berkaitan