“Tiga Tonggak Baharu” Tambah Baik Eksport Guangxi

Kilang LIM (Lean Intelligent Manufacturing) SAIC-GM-Wuling (SGMW) yang menggunakan mod pengeluaran “Smart Island”. (Foto/Qin Ke)

Kilang LIM (Lean Intelligent Manufacturing) SAIC-GM-Wuling (SGMW) yang menggunakan mod pengeluaran “Smart Island”. (Foto/Qin Ke)

Lengan robot melambai-lambai, kenderaan elektrik (EV) yang siap dipasang satu demi satu keluar dari barisan pengeluaran, menuju ke seberang laut. Itulah yang dilihat di dalam kilang LIM (Lean Intelligent Manufacturing) SAIC-GM-Wuling (SGMW) di Liuzhou, wilayah Guangxi, yang menggunakan mod pengeluaran “Smart Island”.

Sejak awal tahun, pesanan “tiga tonggak baharu” dari luar negara terus meningkat, dan banyak syarikat beroperasi sepenuh kapasiti.

Apa itu “tiga tonggak baharu”?

“Tiga tonggak baharu” adalah produk eksport yang bersifat rendah karbon seperti EV, bateri ion litium dan sel suria.

Dengan perkembangan industri tenaga baharu semakin rancak, eksport produk “tiga tonggak baharu” terus meningkat, melonjakkan sekali prestasi eksport wilayah Guangxi.

Data menunjukkan bahawa jumlah nilai eksport produk berkenaan di Guangxi mencatat 15.57 bilion yuan pada 2023, iaitu meningkat 1.9 kali ganda dan menyumbang 2.8 mata peratusan kepada pertumbuhan eksport wilayah tersebut.

Difahamkan, pengeluar utama adalah syarikat swasta serta syarikat modal asing, manakala EU, ASEAN dan India merupakan tiga pasaran utama. Antaranya, EU ialah pasaran terbesar EV, India pasaran terbesar bateri ion litium dan ASEAN pasaran terbesar sel suria.

“Daripada ‘tiga tonggak lama’, iaitu pakaian, peralatan rumah dan perabot, kepada ‘tiga tonggak baharu’ sekarang, boleh nampak struktur pengeksportan Guangxi yang semakin dioptimumkan dengan kualiti terus meningkat,” kata anggota kastam Nanning, ibu wilayah Guangxi.

Kenderaan Guangxi Automobile Group yang dieksport ke Amerika Utara. (Foto/Huang Huixian)

Kenderaan Guangxi Automobile Group yang dieksport ke Amerika Utara. (Foto/Huang Huixian)

Liuzhou, yang terkenal sebagai bandar perindustrian sekian lamanya, kini berkembang menjadi pengeluar kenderaan tenaga baharu (NEV) yang berpengaruh antarabangsa dengan terkumpulnya kilang SGMW, Dongfeng Liuzhou Motor dan Guangxi Automobile Group.

Dimaklumkan, jumlah kenderaan keluaran SGMW yang dieksport pada 2023 mencatat 211,500 unit, meningkat 9% tahun ke tahun. Sebanyak 24,094 daripadanya adalah NEV, meningkat 165% tahun ke tahun. Cawangannya di Indonesia mencatatkan jualan sebanyak 10,651 pada 2023, meningkat 130% tahun ke tahun, dengan bahagian pasaran terbesar iaitu melebihi 46% dalam produk tenaga baharu.

Dalam industri bateri tenaga baharu pula, Nanning, ibu wilayah, sudah berkembang menjadi pembekal bateri terbesar BYD, jenama NEV terkenal di China.

Pengeluar bateri ion litium, Liuzhou GuoXuan Battery, mencatatkan jumlah nilai eksport bateri sebanyak 2.2 bilion yuan pada 2023, meningkat 57.1% tahun ke tahun. Pasaran utamanya adalah India dan Vietnam.

Selain itu, industri kuasa angin, fotovolta dan simpanan tenaga juga pesat berkembang di seluruh Guangxi. Sebanyak 11 pengeluar perlengkapan kuasa angin dan 22 pengeluar bateri simpanan tenaga telah diperkenalkan di wilayah itu setakat ini.

Produk Guangxi yang dipamerkan pada Jerayawara Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20 di Singapura. (Foto ihsan Jabatan Perdagangan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi)

Produk Guangxi yang dipamerkan pada Jerayawara Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20 di Singapura. (Foto ihsan Jabatan Perdagangan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi)

Video

Berita Berkaitan