Program "China Up Close" Rakan Media ASEAN Dilancarkan di Hainan

(CRI)Selasa 23 April 2024

Program Kenali Hainan & Pameran Visual "China Up Close" Rakan Media ASEAN dilancarkan di Sanya, provinsi Hainan pada Selasa.

Acara anjuran Kumpulan Media China (CMG) itu menarik penyertaan wartawan daripada 11 media utama dari sembilan buah negara ASEAN.

Naib Pengarah Pusat Program Bahasa Asia dan Afrika CMG, Zhang Hui ketika berucap dalam upacara pelancaran berkata China dan negara ASEAN dihubungkan dengan gunung dan sungai, serta menjalin hubungan rapat sesama rakyat. Kedua-dua pihak mempunyai persamaan dari segi sejarah yang dilalui dan mengejar impian yang sama.

"CMG telah menjalin hubungan kerjasama yang pelbagai dengan lebih 100 media dari negara ASEAN.

"Diharap acara ini dapat terus memperkasa kerjasama media antara China dengan ASEAN, membolehkan lebih ramai audiens mengenali negara China yang sebenar, sekali gus menyumbang ke arah membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat," ujar beliau.

Presiden Television Nasional Laos, Amkha Vongmeunka dalam ucapannya menerusi pautan video berkata seperti kata pepatah, "Lebih baik lihat sekali daripada mendengar seratus kali."

Wartawan Laos yang menyertai acara berkenaan ingin melihat sendiri hasil praktik konsep pembangunan China, sambil menghayati keunikan budaya serta sumber pelancongan yang kaya di negara Tembok Besar.

Bermula 22 hingga 28 April, lebih 50 wartawan dari China dan sembilan negara ASEAN akan dibawa melawat ke beberapa lokasi di Hainan antaranya Sanya, Lingshui, Wanning, Qionghai dan Haikou untuk membuat liputan sebelum disiarkan di platform media masing-masing.

Pameran visual yang turut dianjurkan pula menghimpunkan karya-karya unggul yang dihasilkan bersama oleh media utama China dan negara ASEAN pada beberapa tahun kebelakangan ini.

Video

Berita Berkaitan