Pelancong Asing Hayati Ais, Salji di Timur Laut China

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 17 Januari 2025

Nota: Artikel yang diterjemah dan disunting oleh People’s Daily Online ini dipetik oleh agensi berita Xinhua

Andrew Woods, peminat ski dari New Zealand, cukup seronok dapat menyertai Pesta Ski Antarabangsa Jingyuetan Vasaloppet yang berlangsung di Changchun, ibu provinsi Jilin awal bulan ini.

“Ini yang pertama bagi saya di China,” katanya, sambil berkongsi pengalamannya menyertai festival seumpama. “Saya sudah menyertai 20 lagi di seluruh dunia. Keadaan di sini cukup baik – suhu sejuk yang sesuai, cahaya matahari yang ideal.”

Woods antara lebih 2,000 peserta dari 33 negara dan wilayah yang mengambil bahagian dalam acara tahunan yang asalnya dari Sweden ini. Kali ini merupakan edisi yang ke-23.

Para atlet menyertai perlumbaan ski rentas desa pada Pesta Ski Antarabangsa Jingyuetan Vasaloppet di Changchun, ibu provinsi Jilin, timur laut China, 4 Januari 2025. (Xinhua/Yan Linyun)

Para atlet menyertai perlumbaan ski rentas desa pada Pesta Ski Antarabangsa Jingyuetan Vasaloppet di Changchun, ibu provinsi Jilin, timur laut China, 4 Januari 2025. (Xinhua/Yan Linyun)

China telah menyaksikan ledakan dalam bilangan pelancong pada musim salji ini, berkat pelanjutan dasar transit bebas visa yang membenarkan warga asing yang layak berada di China tanpa visa selama 240 jam.

Jilin memiliki resort ski yang dianggap antara terbaik di China. Musim ini, jumlah pelancong yang mengunjungi resort ski Beidahu di Jilin melonjak 75.6 peratus tahun ke tahun, membawa kenaikan pendapatan sebanyak 73 peratus. Resort Tasik Songhua Vanke, satu lagi destinasi yang menjadi pilihan, merekodkan pertambahan 20.6 peratus dalam bilangan pengunjung, dengan peningkatan pendapatan sebanyak 19.3 peratus.

Cui Guolu, naib pengurus besar sebuah agensi pelancongan tempatan, memberitahu Xinhua bahawa dasar transit bebas visa China telah menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke dalam negeri, terutamanya orang muda.

“Kami dapati lebih ramai pelancong asing muda pada tahun ini,” katanya. “Sesetengah pekerja pejabat menaiki penerbangan ke sini pada hari Jumaat untuk menikmati salji, makanan dan mata air panas sebelum pulang pada hari Ahad.”

Seorang pelancong dari Korea Selatan yang bernama Yoon baru sahaja selesai melawat Jilin. Dia memberitahu Xinhua bahawa dasar visa terkini itu bukan sahaja mengurangkan kos perjalanan tetapi juga memudahkan proses masuk, menjadikan pelancong lebih tertarik untuk ke China.

Foto bertarikh 8 Januari 2025 ini menunjukkan jam kira detik bagi edisi ke-9 Sukan Musim Sejuk Asia 2025 di Harbin, provinsi Heilongjiang, timur laut China. (Xinhua/Wang Song)

Foto bertarikh 8 Januari 2025 ini menunjukkan jam kira detik bagi edisi ke-9 Sukan Musim Sejuk Asia 2025 di Harbin, provinsi Heilongjiang, timur laut China. (Xinhua/Wang Song)

Menjelang perasmian Sukan Musim Sejuk Asia 2025 yang akan membuka tirai dalam masa tidak sampai sebulan, Harbin yang merupakan ibu kota provinsi paling timur laut di China iaitu Heilongjiang, sudah bersedia untuk menyambut lebih ramai pelancong antarabangsa.

Sebagai persiapan untuk temasya yang dijadualkan pada 7 hingga 14 Februari, Heilongjiang telah mengoptimumkan rangkaian tempahan tiket untuk pelancong. Kawasan peranginan, pusat beli-belah serta restoran dan bar juga digalakkan membuat tayangan langsung acara pertandingan pada skrin besar di tempat tertutup demi keselesaan pelancong.

Untuk memudahkan pelancong antarabangsa membuat bayaran, sebanyak 1,391 mesin POS yang menerima kad bank asing telah dipasang di merata provinsi. Heilongjiang juga telah membuka 70 lokasi pengurup mata wang asing, selain menyediakan ATM yang mesra warga asing di hotel bertaraf lebih tiga bintang dan tempat tarikan bertaraf 4A ke atas.

Pelancong asing mencuba snek pada festival mengumpul ais di Harbin, provinsi Heilongjiang, timur laut China, 7 Disember 2024. (Xinhua/Wang Jianwei)

Pelancong asing mencuba snek pada festival mengumpul ais di Harbin, provinsi Heilongjiang, timur laut China, 7 Disember 2024. (Xinhua/Wang Jianwei)

Dunia Ais-Salji Harbin, taman tema ais dan salji terbesar dunia, telah menerima kedatangan lebih sejuta pelawat dalam masa hanya 20 hari sejak dibuka untuk musim ini pada 21 Disember. Angka ini rekod tertinggi bagi destinasi tumpuan musim sejuk itu, yang sudah pun beroperasi selama 26 tahun.

Menarik perhatian pengunjung, di taman tema tersebut terdapat mercu tanda daripada ais yang mewakili 45 anggota Majlis Olimpik Asia. Ini termasuk Kuil Bayon Kemboja dan Menara Berkembar Petronas Malaysia.

“Saya pernah lihat banyak gambar arca ais. Semuanya cantik-cantik,” ujar Supattra Janthom dari Thailand. “Mereka ada membina Istana Besar daripada ais. Saya sangat teruja hendak pergi lihat.”

Foto dron ini memaparkan pemandangan Dunia Ais-Salji Harbin di Harbin, provinsi Heilongjiang, timur laut China, 21 Disember 2024. (Xinhua/Wang Song)

Foto dron ini memaparkan pemandangan Dunia Ais-Salji Harbin di Harbin, provinsi Heilongjiang, timur laut China, 21 Disember 2024. (Xinhua/Wang Song)

Sejak 25 Disember lalu, lebih daripada 20 penerbangan carter telah berulang-alik antara Harbin dengan Asia Tenggara. Penerbangan rutin baharu di laluan sama turut membawa lebih ramai pelawat ke kota ais itu.

Menurut angka Ctrip, salah satu agensi pelancongan atas talian terkemuka China, bilangan tempahan pelancong dari luar ke Harbin pada musim sejuk ini melambung lebih 220 peratus tahun ke tahun setakat akhir Disember. Tempahan oleh pelancong antarabangsa ke Dunia Ais-Salji Harbin pula meningkat sekali ganda.

Memetik Ctrip, Thailand, Malaysia, Singapura, Korea Selatan dan Indonesia adalah lima sumber pelancong asing utama di Harbin pada masa ini.

“Thailand ialah negara tropika, dan ais dan salji bukanlah perkara biasa bagi kami,” kata Janthom. “Sekarang, semuanya dalam capaian.”

Pelancong mengunjungi Dunia Ais-Salji Harbin di Harbin, provinsi Heilongjiang, timur laut China, 21 Disember 2024. (Xinhua/Zhang Tao)

Pelancong mengunjungi Dunia Ais-Salji Harbin di Harbin, provinsi Heilongjiang, timur laut China, 21 Disember 2024. (Xinhua/Zhang Tao)

Video

Berita Berkaitan