Kedutaan Indonesia Di Beijing Adakan Taklimat untuk Media China

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 28 Februari 2025

Duta Besar Indonesia, Djauhari Oratmangun berucap pada satu sesi perjumpaan bersama media China. (foto ihsan Kedutaan Besar Indonesia di Beijing)

Duta Besar Indonesia, Djauhari Oratmangun berucap pada satu sesi perjumpaan bersama media China. (foto ihsan Kedutaan Indonesia di Beijing)

Kedutaan Indonesia di Beijing baru-baru ini menganjurkan satu sesi perjumpaan bersama media China untuk memaklumkan perkembangan terkini tentang Indonesia. Lebih daripada 60 jurnalis dari media utama China menghadiri acara itu, yang bertujuan memberikan maklumat terkini mengenai pembangunan di Indonesia, di samping mempererat hubungan yang sudah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

Duta Besar Indonesia, Djauhari Oratmangun menyuarakan penghargaan kepada semua wartawan yang telah menyumbang ke arah hubungan Indonesia-China yang lebih mantap.

“Media telah memainkan peranan yang penting dalam usaha memperkukuh ikatan antara kedua-dua negara. Kami amat menghargai kerjasama dan sokongan daripada media dalam mempromosikan Indonesia di China,” ujar beliau.

Sempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik Indonesia-China, Djauhari menjemput anggota media untuk membantu merancakkan sambutan tersebut agar memperkasakan lagi kerjasama bilateral.

Pada acara yang istimewa ini, Djauhari turut memberikan taklimat kepada media mengenai keadaan semasa di Indonesia di bawah pimpinan presiden baharu, Prabowo Subianto.

“Presiden Prabowo komited untuk membimbing negara ke arah merealisasikan Visi Indonesia Emas 2045. Presiden Prabowo juga telah menekankan pentingnya meningkatkan ketahanan negara dengan menguatkan sektor-sektor makanan, tenaga, digital dan pertahanan,” katanya.

Untuk menyokong pertukaran ekonomi dan juga orang ke orang, kedutaan Indonesia menggalakkan rakan kongsi di China memanfaatkan program Visa Emas. Program berkenaan menawarkan peluang kepada pelabur asing untuk berada dan melabur di Indonesia, khususnya dalam sektor-sektor yang diberikan keutamaan seperti industri hiliran, serta pembangunan ibu negara baharu, Nusantara.

Video

Berita Berkaitan