Evolusi Lapangan Terbang, Daripada Tempat Transit, Kini Jadi Destinasi Pelancong

Seorang penumpang bergambar dengan latar belakang ukiran gergasi snek tempatan ‘Roujiamo’, atau burger China di balai berlepas di Terminal 5 Lapangan Terbang Antarabangsa Xianyang Xi’an, Provinsi Shaanxi, barat laut China. (Xinhua/Shao Rui)

Seorang penumpang bergambar dengan latar belakang ukiran gergasi snek tempatan ‘Roujiamo’, atau burger China di balai berlepas di Terminal 5 Lapangan Terbang Antarabangsa Xianyang Xi’an, Provinsi Shaanxi, barat laut China. (Xinhua/Shao Rui)

Baru-baru ini, muzium pameran peninggalan budaya pertama di dunia yang terletak di dalam lapangan terbang telah dilancarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Xianyang di Xi'an, Provinsi Shaanxi di barat laut China.

Hasil kreativiti tersebut secara tidak langsung telah menarik ramai pengunjung yang teruja untuk melihat peninggalan budaya.

Ketika ini, semakin banyak lapangan terbang di China menggabungkan senario penggunaan dan budaya, bagi menyediakan kepelbagaian kepada orang ramai. Ia termasuk daripada menjamu selera dan membeli-belah kepada fotografi dan pameran.

Secara tidak langsung, ia menyaksikan bahawa lapangan terbang bukan lagi sekadar balai berlepas atau ketibaan sahaja, tetapi telah berevolusi menjadi destinasi pelancongan.

Murid-murid sekolah rendah dari Hong Kong bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing. (Xinhua/Zhang Chenlin)

Murid-murid sekolah rendah dari Hong Kong bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing. (Xinhua/Zhang Chenlin)

Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing kini menempatkan lebih daripada 500 kedai yang menawarkan pelbagai produk, daripada jenama sepanjang zaman China kepada produk kreatif dan kebudayaan yang menjadi trend, sekali gus dapat memenuhi keperluan penumpang yang berbeza-beza.

Selain itu, lapangan terbang tersebut turut menyediakan perkhidmatan termasuk menghantar barangan yang dibeli ke pintu naik kapal dalam tempoh 30 minit atau terus ke rumah pembeli. Perkhidmatan tersebut juga telah menyaksikan lapangan terbang itu digelar sebagai ‘pusat beli-belah Daxing’ dalam kalangan warganet.

Sejak dibuka pada September 2019, lapangan terbang itu telah menjadi satu daya tarikan yang popular. Ketika percutian minggu emas sempena Hari Kebangsaan tahun yang sama, ia telah menerima sejumlah 500,000 kunjungan pelancong.

Rentetan daripada usaha lapangan terbang untuk menambah baik pengalaman penumpang dengan ciri-ciri tempatan yang unik, pengguna media sosial juga berlumba-lumba untuk berkongsikan cadangan masing-masing.

Misalnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Changshui Kunming di Provinsi Yunnan telah mempamerkan bunga-bunga tempatan yang terkenal, dengan menempatkan gerai bunga sepanjang tahun, serta dilengkapi dengan pameran yang menampilkan keistimewaan tempatan seperti biji kopi dan elata gastrodia, iaitu herba tradisional China.

Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing, Lapangan Terbang Antarabangsa Meilan Haikou, Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun dan Lapangan Terbang Antarabangsa Jiaodong Qingdao masing-masing telah mendapat pengiktirafan pada Anugerah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang 2024 yang berprestij oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa.

Secara lebih terperinci, Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing merangkul enam anugerah, termasuk lapangan terbaik untuk truput penumpang antara 25 juta dan 40 juta, paling mudah, bersih dan digemari dalam rantau Asia Pasifik. Ia sekali gus menandakan tahun kelima berturut-turut lapangan terbang itu menerima anugerah terbaik dalam kategorinya.

Foto pemandangan Lapangan Terbang Antarabangsa Shuangliu Chengdu di Provinsi Sichuan. (People’s Daily Online/Liu Ting)

Foto pemandangan Lapangan Terbang Antarabangsa Shuangliu Chengdu di Provinsi Sichuan. (People’s Daily Online/Liu Ting)

Sering digelar sebagai ‘pintu masuk udara’ bandar, lapangan terbang bertungkus-lumus berusaha untuk mencipta pandangan pertama yang tidak dapat dilupakan buat pelawat menerusi langkah-langkah inovatif.

Pada penghujung Februari, pameran ‘Membaca China di Muzium’ telah dilancarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jiaodong Qingdao.

Dengan menampilkan tema seperti sejarah, budaya, revolusi, seni, alam semula jadi, sains dan pencapaian arkeologi, pameran tersebut telah memperlihatkan kehalusan budaya tradisional China, warisan revolusi dan budaya sosialis yang maju secara komprehensif, sekali gus mewujudkan suasana kebudayaan yang penuh mengasyikkan serta menambah baik pengalaman penumpang.

Melangkah ke hadapan, lapangan terbang itu merancang untuk melakukan transformasi, iaitu berubah menjadi pintu masuk urban yang mengintegrasikan pengangkutan dan pengalaman kebudayaan.

Penganjuran pameran yang bertema telah menjadi pendekatan rentas sektor penting buat lapangan terbang, serta dilihat sebagai cara berkesan bagi muzium untuk memperluaskan perkhidmatannya, selain turut membolehkan pengembara meneroka keindahan budaya ketika melancong.

Sebagai contoh, sebuah pameran mengenai paksi tengah Beijing anjuran secara bersama oleh Muzium Negara China dan Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing telah dibuka untuk kunjungan awam secara percuma di tingkat kelima lapangan terbang itu.

Video

Berita Berkaitan