- Lain-lain
Hab Lemon China Kembangkan Pasaran ASEAN Dengan Eksport Pantas
Foto yang diambil pada 7 November 2024 ini menunjukkan barisan pengisihan lemon pintar di daerah Tongnan, Chongqing, barat daya China. (Xinhua/Zhao Jiale)
Sebuah trak rantai sejuk rentas sempadan yang membawa muatan 28 tan lemon segar berlepas dari Perbandaran Chongqing di barat daya China, melalui lebuh raya sejauh 1,300 kilometer, dan tiba di Vietnam dalam tempoh 48 jam.
Perkhidmatan kargo lebuh raya di sepanjang Koridor Daratan-Laut Antarabangsa Baharu pada pertengahan April itu sekali gus menandakan kali pertama bagi lemon Tongnan, produk yang dihasilkan di Daerah Tongnan di Chongqing, dihantar secara terus ke Vietnam, memendekkan masa transit daripada enam hari kepada dua hari sahaja.
Hu Zaiyang, pengurus sebuah syarikat buah-buahan tempatan ketika diwawancara Xinhua berkata bahawa perkhidmatan baharu itu telah membantu lemon syarikatnya tiba di tangan pelanggan secepat yang mungkin.
Terletak strategik di 30 darjah latitud utara, Tongnan memiliki pengairan yang ideal dan tanah berasid, sekali gus meletakkan ia sebagai pengeluar lemon global utama di samping California dan Sicily.
Dengan 70 peratus eksport lemon China datang dari Tongnan, daerah itu telah menjual lemon di lebih 30 negara dan kawasan.
Pada 2024, kawasan itu dianggarkan mengeksport 39,000 tan lemon, menjana pendapatan jualan sebanyak RMB265 juta (sekitar AS$36.75 juta). Untuk suku pertama 2025, eksport lemon telah mencapai 6,200 tan, dengan kenaikan dari tahun ke tahun sebanyak 7.9 peratus.
“Kami menghantar lebih 4,000 tan lemon ke pasaran luar negara pada tahun lalu, amnya ke negara-negara Asia Tenggara, membekalkan (lemon) kepada lebih 4,000 kedai minuman di luar negara,” kata Huang Guanyi, pengurus jualan luar negara di sebuah syarikat pertanian Chongqing.
Tambahnya, lemonad direkodkan sebagai produk paling laris di Mixue, iaitu syarikat gergasi minuman di Asia Tenggara.
Jenama minuman dari China yang dibru segar seperti Gongcha dan Mixue dilihat semakin popular di Asia Tenggara seperti Vietnam, Filipina, Indonesia dan Singapura. Kedua-dua jenama tersebut boleh didapati di merata tempat di bandar-bandar utama negara-negara tersebut.
Setakan Januari 2024, Mixue telah membuka 36,000 kedai di serata dunia, dengan 4,000 daripadanya terletak di 11 negara luar, sekali gus menjadikan Mixue sebagai pendahulu dalam jenama minuman teh yang dibru segar di Asia Tenggara.
Menurut Xinhua, ledakan perniagaan minuman itu telah menyumbang secara besar-besaran terhadap lonjakan eksport lemon dari China.
Pada September 2024, Pusat Dagangan Lemon Tongnan Malaysia secara rasminya beroperasi di Kuala Lumpur, secara tidak langsung membina platform pelaburan dua hala bagi mempromosi perdagangan menerusi inisiatif pemasaran dan penjenamaan bersama untuk pasaran ASEAN.
Singapura dan wilayah-wilayah lain juga turut mempunyai hab inovasi dan gudang luar negara lemon Tongnan untuk memudahkan perdagangan dan memajukan pertanian digital.
“Kami akan memperkukuh panduan teknikal dan kawalan mutu, menyokong perniagaan dan persatuan industri limau, serta menyediakan perkhidmatan yang ditambah baik untuk membantu lemon Tongnan mencapai pasaran yang lebih luas,” ujar Fu Qiang, wakil dari Tongnan yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri lemon Tongnan.
- Import Eksport Shanghai ke ASEAN Naik 7.1% pada S1 2025
- Orang Muda Nadi Baharu Pertanian China
- Belia di Shanghai Tanam Salad Dalam Bekas, Galakkan Pertanian Menegak
- Malaysia-China Tingkatkan Kerjasama Ekonomi Digital, E-Dagang Rentas Sempadan
- Festival Barangan Tahun Baharu Guangxi Dirasmikan
- Kilauan Pesta E-dagang Meriahkan Malam Tahun Baharu di Guangxi
- Pelaburan China di ASEAN Berkembang Untuk Manfaat Bersama
- Ekonomi ASEAN+3 Diunjur Mantap
- ASEAN Kekal Rakan Dagang Terbesar bagi China
- Xi Selamat Tiba di Tanah Air
- Pinggan Mangkuk Meja Mesra Alam Sekitar Diperbuat Daripada Hampas Tebu di Yunnan Terkenal di Luar Negara
- Sawah Padi Penuh Warna di Fujian Hasilkan Pemandangan Menakjubkan Musim Luruh
- Qinglong Aktif Bangunkan Industri Buah Berangan China
- Menglian Hasilkan Lebih 80 Peratus Avokado di China
- Petani Manfaatkan Video Pendek, Promosi Kampung Halaman di Gansu
- Produk Pertanian China Raih Populariti di Pasaran Luar Negara
- Aktiviti Pertanian Rancak di Seluruh China Pada Awal Musim Bunga
- ‘Monorel Mini’ Permudah Pertanian di Yunnan
- China Kemuka Pelan, Percepat Pembinaan Kekuatan Dalam Pertanian
- Kerjasama Pertanian China-AS Manfaatkan Pengguna, Petani