- Lain-lain
Bahasa Melayu Bermekaran di China, DBP Sasar Kolaborasi Strategik
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari menerima wawancara eksklusif People's Daily Online pada 22 Mei 2025. (People's Daily Online/Wang Jing)
Perkembangan pendidikan bahasa Melayu di universiti-universiti China terus memperlihatkan kemajuan yang positif dan strategik dalam usaha pengantarabangsaan bahasa itu.
Demikian ujar Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari dalam satu wawancara eksklusif bersama People’s Daily Online semasa lawatan rasmi beliau ke Beijing’, ibu kota China.
Beliau menyifatkan bahawa penawaran pengajian bahasa Melayu di 17 universiti di China secara tidak langsung mencerminkan komitmen tinggi institusi-institusi pendidikan negara Tembok Besar dalam memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
“Saya melihat perkembangan ini sebagai satu pencapaian penting, hasil sinergi pelbagai pihak yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan diplomasi budaya,” jelas Hazami.
Bahasa sebagai jambatan tamadun
Mengulas mengenai peranan pembelajaran bahasa dalam mendorong pertukaran budaya antara Malaysia dan China, beliau menegaskan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi adalah wadah untuk menyelami jiwa dan tamadun sesuatu bangsa.
“Pelajar China yang mempelajari bahasa Melayu secara tidak langsung menyelami sastera, adat dan falsafah Melayu. Ini adalah asas kepada pemahaman mendalam antara dua budaya besar dunia,” jelas Dr. Hazami.
Pada masa sama, beliau turut berpandangan bahawa pembelajaran bahasa adalah salah satu bentuk diplomasi budaya yang memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China yang bukan sahaja terhad dalam bidang ekonomi, malah juga dalam pendidikan dan sosial.
Peluasan kursi pengajian dan program pertukaran
Menyentuh kerjasama sedia ada seperti Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim, Hazami mencadangkan agar peluasan penubuhan kursi yang seumpamanya dapat dilaksanakan di bandar-bandar utama China seperti Shanghai dan Guangzhou.
Beliau menekankan bahawa kursi itu bukan sahaja berperanan sebagai pusat pengajaran, tetapi juga merupakan pusat penyelidikan dan pemikiran rentas budaya.
DBP turut merancang untuk memperluaskan program pertukaran pelajar dan pensyarah, di samping menggalakkan penerbitan bersama karya sastera dan ilmiah antara kedua-dua negara.
“Karya terjemahan Melayu-China akan membuka ruang pemikiran tempatan ke peringkat global dan memupuk pemahaman rentas budaya,” katanya Ketua Pengarah DBP itu lagi.
Kerjasama dalam pendidikan vokasional dan pendigitalan
Seiring dengan kenyataan bersama Malaysia-China semasa lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu, Hazami telah berkongsikan rancangan DBP untuk menyokong kerjasama dalam pendidikan vokasional, penyelidikan saintifik dan pendidikan digital.
Antaranya termasuk penghasilan modul bahasa Melayu berfokus bidang vokasional seperti teknologi kejuruteraan dan pelancongan, pembangunan platform e-pembelajaran dwibahasa Melayu-Cina, serta bengkel khas untuk pelatih vokasional dari China.
“Bahasa Melayu harus dilihat bukan sahaja sebagai bahasa budaya, tetapi juga bahasa kemahiran dan ekonomi,” tegas beliau.
Bahasa Melayu dan Cina sebagai rakan strategik tamadun
Hazami dalam wawancara itu turut menggariskan visinya untuk tempoh lima tahun akan datang, iaitu memperkukuh pengaruh bahasa Melayu dalam pendidikan teknikal dan digital, membina hab akademik di China, serta melahirkan generasi pengantara budaya yang memahami kedua-dua tamadun.
“Dalam lima tahun akan datang, saya ingin melihat bahasa Melayu dan bahasa Cina berdiri seiring, saling menyokong dalam memperkukuh jaringan ilmu, nilai kemanusiaan dan pertukaran budaya yang lestari,” katanya kepada People’s Daily Online.
- Video: Cabaran Foto Berantai di XMUM
- Martabatkan Pendidikan dalam Bidang Sains Teknologi dan Modal Insan - Xi
- China Lengkapi Graduan Kolej Untuk Pasaran Kerja yang Berevolusi, Rapatkan Jurang Kemahiran
- Anwar Puji Usaha Xi Martabatkan Warisan Budaya dalam Pentadbiran Negara
- China, Malaysia Diharap Terus Perkukuh Kerjasama
- Sorotan Hasil Kerjasama Praktikal China-Malaysia
- Pelabur China Dorong Pertumbuhan di Malaysia
- Xi Bincang Bersama PM Malaysia
- Xi Harap China, Malaysia Saling Menyokong dalam Usaha Pemodenan
- Jenama Minuman Teh Makin Popular, “Rasa China” Sebati Dengan Kehidupan Harian Warga KL
- Aroma Durian ‘Pikat’ Pengunjung Rasa Malaysia 2025
- China, Malaysia Terus Pertingkat Kerjasama Ekonomi Digital
- Xi Terima Pingat Kolar Besar Kemerdekaan Bangsa Kemboja
- China, Malaysia Percepat Kesalinghubungan Pembayaran Rentas Sempadan
- Air Dicencang Tiada Putus | Ikuti Kisah Interaksi Rakyat dari Mulut Pelajar China dan Malaysia
- Saluran Eksport Durian Malaysia ke China Alami Ledakan
- Ledakan Dagangan Durian Cermin Kerjasama Perdagangan Saling Menang China-Malaysia
- Buah-buahan Malaysia Popular di Pasaran China
- Kapal Korek China Bantu Pengembangan Pelabuhan Klang
- Pelajar Malaysia Hadiri Bengkel di Mongolia Dalam