Kopi Yunnan Tarik Perhatian Global Menerusi Penaiktarafan Kualiti, Inovasi

Foto 1: Seorang wanita etnik Yi memetik beri kopi di kampung Zhukula di pekan Pingchuan, kaunti Binchuan, Provinsi Yunnan, barat daya China. (Foto ihsan Jabatan Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Provinsi Yunnan)

Foto 2: Seorang pengusaha kopi memperlihatkan beri kopi segar yang dipetik di estet kopi di daerah Simao, bandar Pu’er, Provinsi Yunnan di barat daya China. (Xinhua/Chen Xinbo)

Foto 3: Beri kopi yang sudah masak di sebuah estet kopi di bandar Lushui, Provinsi Yunnan di barat daya China. (Foto ihsan Jabatan Pertanian dan Hal Ehwal Luar bandar Provinsi Yunnan)

Foto 4: Penjual menjual produk kopi semasa sesi siaran langsung di daerah Longyang, bandar Baoshan, Provinsi Yunnan di barat daya China. (Xinhua/Liang Zhiqiang)

Data pihak kastam menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak 122 peratus dalam eksport kopi dari Provinsi Yunnan China pada suku pertama 2025, menjadikan jumlah sebanyak RMB310 juta (AS$43 juta).

Kenaikan itu juga seiring dengan usaha provinsi di barat daya China itu yang mahu mengubah industri kopinya daripada pembekal komoditi kepada penghasil jenama premium.

Di perkampungan Xinzhai yang terletak di bandar Baoshan, gerai-gerai pasar menjual segala-galanya – daripada biji kopi premium, hingga sabun buatan tangan dengan haruman biji kopi yang baru dipanggang memenuhi segenap ruang udara.

Kampung yang dikenali sebagai ‘kampung kopi nombor satu’ di China itu secara tidak langsung menggambarkan transformasi industri kopi Yunnan.

Suatu ketika dahulu, petani tempatan bergelut dengan kualiti yang tidak konsisten dan harga yang tidak menentu, sekali gus menjadi pencetus bagi penduduk kampung itu untuk bekerjasama dengan Akademi Sains Pertanian Yunnan.

Dengan berganding bahu, kedua-dua pihak telah berjaya memperkenalkan varieti berkualiti tinggi dan kaedah penanaman moden, seterusnya mewujudkan kawasan penanaman teras seluas 906.67 hektar dengan sistem pengairan dan baja pintar.

“Sebelum ini, penanaman kopi bergantung kepada cuaca. Kini, dengan varieti baharu, hasil telah meningkat dua kali ganda dan kualiti telah mencapai kedudukan global,” kata Wang Youchun, seorang petani tempatan.

Transformasi berjaya membuahkan hasil. Purata pendapatan boleh guna perkapita di kampung itu melonjak daripada RMB3,150 (AS$437) pada 2012 kepada RMB28,000 pada 2022.

Universiti Pertanian Yunnan telah mengetuai usaha penyelidikan dan pembangunan. Pada 28 April, Yunnan melancarkan kopi teh beri jenama secara bersama dengan Peet's Coffee, kopi jenama AS, dengan menggunakan teknologi pemprosesan yang dibangunkan oleh universiti, menandakan kerjasama besar pertama kopi Yunnan dengan jenama global.

Menjelang penghujung 2024, Yunnan telah menanam lebih daripada 150,000 mu varieti kopi berkualiti tinggi, menyumbang 12.8 peratus daripada jumlah kawasan yang dikhaskan untuk penanaman kopi di provinsi itu, berbanding 5 peratus pada akhir 2021.

Pada masa lalu, berikutan kaedah pemprosesan yang kasar dan kualiti yang tidak sekata, biji kopi Yunnan dibeli secara pukal oleh gergasi kopi global pada harga 10 hingga 20 sen setiap paun di bawah harga niaga hadapan kopi New York.

Hua Runmei, anak perempuan seorang petani kopi, pulang ke kampung halaman selepas menamatkan pengajian di kolej untuk memberi tumpuan terhadap pada pembangunan kopi premium.

“Kopi premium mesti mendapat lebih daripada 80 mata berdasarkan piawaian antarabangsa. Semuanya bermula dengan penuaian beri masak sepenuhnya dan memastikan kawalan kualiti yang ketat,” katanya.

Hua bekerja bersama-sama dengan petani kopi yang lain di lapangan, dan memperkenalkan kaedah pemprosesan termaju seperti pengeringan semula jadi, pemprosesan madu dan penapaian anaerob dua kali.

Sejak dari itu, beri kopi di pusat pemprosesan yang dahulunya bercampur antara merah dan hijau kini menjadi merah, yang secara tidak langsung mencerminkan penambahan kualiti yang sangat jelas.

Data menunjukkan bahawa kadar premium beri kopi di Yunnan menokok dari 8 peratus pada 2021 kepada 31.6 peratus pada 2024, manakala kadar pemprosesan mendalam telah meningkat daripada 20 peratus kepada 80 peratus.

Sementara itu, Inisiatif Jalur dan Laluan juga telah memberikan kesan limpahan terhadap pembangunan zon perdagangan bebas rintis Yunnan dan laluan perdagangan darat seperti Kereta Api China-Laos dan perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah, yang membantu meningkatkan jenama kopi premium Yunnan di mata penggemar kopi luar negara.

Menurut data yang diperoleh daripada kastam, Yunnan telah mengeksport 32,500 tan kopi pada 2024, iaitu peningkatan 358 peratus dari tahun ke tahun, amnya kepada Belanda, Jerman, AS, Vietnam serta 25 lagi negara dan wilayah,

Estet kopi Hua turut menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial. Semasa cuti Hari Pekerja baru-baru ini, lebih 1,000 pengunjung telah melewati tempat itu setiap hari. Di serata Yunnan, banyak estet kopi yang serupa telah menggabungkan unsur pelancongan dan budaya kopi.

Pelanjutan transit bebas visa oleh China yang membenarkan individu untuk tinggal selama 240 jam serta dasar kemasukan secara bebas visa juga telah mendorong terhadap kemasukan sejumlah besar pelancong antarabangsa ke Yunnan yang teruja untuk mendalami dan merasa sendiri kopi tempatan.

Video

Berita Berkaitan