Kafe Bergerak Jadi Trend di Kawasan Luar Bandar China

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 14 April 2025

Foto yang diambil bertarikh 19 Mac 2025 ini menunjukkan sebuah kafe bergerak di kaunti Mianxian di bandar Hanzhong, Provinsi Shaanxi di barat laut China. (Xinhua/Sun Zhenghao)

Foto yang diambil bertarikh 19 Mac 2025 ini menunjukkan sebuah kafe bergerak di kaunti Mianxian di bandar Hanzhong, Provinsi Shaanxi di barat laut China. (Xinhua/Sun Zhenghao)

Di tengah-tengah landskap lautan bunga sesawi yang keemas-emasan di bahagian luar bandar, terdapat satu karavan yang parkir di tepi jalan, menarik kehadiran pelancong dari jauh dan dekat dengan gabungan aroma kopi dan bunga.

Zhao Hongshen Pemilik kafe bergerak di Provinsi Shaanxi itu, menggunakan pembesar suara untuk mempromosikan kopi segarnya kepada pengunjung di kaunti Mianxia di bandar Hanzhong, yang rata-ratanya datang untuk menyaksikan keunikan bunga di situ.

“Pendapat seharian adalah sekitar RMB500 (lingkungan AS$68.4) sehari,” katanya kepada Xinhua, sambil menyatakan angka itu lebih berkurangan berbanding beberapa tahun yang terdahulu. Jelasnya, angka pelancong tidak berkurangan, tetapi ia berikutan kehadiran pesaing yang lebih ramai ketika ini.

Berasal dari bandar Baoji di Shaanxi, Zhao telah mengoperasikan kafe bergeraknya selama empat tahun. Dia memandu kenderaannya ke destinasi pelancongan luar bandar yang berbeza bergantung pada musim, dan kadangkala meneroka sehingga ke Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, yang turut terletak di barat laut China.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pemulihan luar bandar di China yang diperdalam, bidang pengangkutan, kemudahan awam dan perkhidmatan sokongan di kawasan luar bandar serata negara telah bertambah baik dengan ketara.

Kawasan luar bandar, yang menampilkan pemandangan pastoral dan gaya hidup yang indah, memikat ramai pelawat, dengan kebanyakannya golongan muda yang bekerja di bandar, yang memilih untuk menghabiskan cuti dan hujung minggu masing-masing dengan berkhemah atau mendaki di kawasan luar bandar.

Menurut statistik Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan China, pada suku pertama 2025, kawasan luar bandar China menerima 707 juta kunjungan, menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RMB412 bilion, iaitu peningkatan tahun ke tahun masing-masing sebanyak 8.9 peratus dan 5.6 peratus.

Zhang Ling, seorang pegawai dari kauti Mianxian, bekerjasama dengan penganjur festival bunga sesawi dalam usaha untuk mendorong lagi pelancongan. Beliau berkata, golongan muda mempunyai permintaan pengguna yang lebih pelbagai, yang seterusnya memungkinkan pembukaan peluang perniagaan baharu.

Bagi pelawat golongan tersebut, kafe menjadi ruang signifikan untuk mereka memenuhi pengalaman di luar bandar dan bersifat semula jadi.

Bagi Zhao, trend dari golongan muda tersebut telah memberikannya peluang perniagaan. Dia menyatakan bahawa tanpa kos sewaan kedai, harga kopi akan menjadi lebih murah berbanding kafe yang terletak di bandar.

Sementara itu, Zhou Hui dan isterinya yang datang dari Perbandaran Chongqing di barat daya China juga turut menyertai perniagaan kafe bergerak tersebut. Sebelum ini, mereka mempunyai sebuah kafe di Chongqing selama 10 tahun, sebelum membuat keputusan untuk melabur RMB500,000 untuk sebuah RV pada 2023.

“Kami baru sahaja menikmati sakura di Provinsi Hubei tengah China ketika kami mengetahui tentang festival pelancongan bunga sesawi di Hangnzhong menerusi laman media sosial,” ujar Zhou.

Sehingga kini, kedua-dua pasangan itu telah merentasi sekitar 50,000 kilometer mengikut musim dan pemandangan di serata China, membolehkan mereka berbisnes sambil menikmati perjalanan.

Penjualan RV di China kini meningkat stabil pada tahun-tahun mutakhir ini. Menurut Persatuan Penjual Automobil China, lebih daripada 14 ribu RV telah dijual pada 2023, iaitu peningkatan tahunan sebanyak 22.41 peratus. Setakat Oktober tahun lalu, jumlah RV di China telah melebihi angka sekitar 213,400.

Video

Berita Berkaitan