- Lain-lain
Transformasi Gurun: Kaunti Makin Capai Kemakmuran Dalam Pasir
“Sewaktu kecil, impian saya adalah untuk keluar dari Makit, dan menjauhkan diri dari Gurun Taklimakan,” imbas Reyhan Ehmet.
Dilahirkan pada 2001 di kaunti Makit, Kashgar, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China, Reyhan jelas mengingati masa kecilnya yang diselubungi oleh landskap berpasir. Kongsinya, musim bunga jarang menyajikan pemandangan hijau, tetapi hanyalah jerebu nan kekuningan di merata-rata tempat.
Pelancong memandu kenderaan luar jalan raya di Makit. (Foto ihsan akaun rasmi pusat media Makit di WeChat)
Kaunti Makit, dikelilingi oleh Gurun Taklimakan di tiga sisi, merangkumi kawasan yang 90 peratus daripada tanahnya adalah padang pasir.
Selepas menamatkan pengajian dari universiti, Reyhan bekerja di Ningbo, Provinsi Zhejiang di timur China. Pada Februari 2024, dia kembali ke kampung halamannya dan terkejut dengan perubahannya, sekali gus memberi dorong buatnya untuk terus menetap di sana.
“Setelah kembali, saya kini sedar bahawa kita boleh mengurus, membangun, dan memanfaatkan Gurun Taklimakan dengan baik,” katanya.
Di sepanjang jalan dari kaunti ke padang pasir, jalur hijau yang luas dengan pokok-pokok yang tumbuh subur memanjang sejauh puluhan kilometer. Ini merupakan sebahagian daripada penghalang penghalang pasir sepanjang 3,046 kilometer yang mengelilingi Taklimakan, yang telah dipupuk oleh kaunti Makit sebagai sistem pertahanan ekologi utamanya.
Sejak 2012, lebih 3 juta penduduk telah mengambil bahagian dalam inisiatif kawalan penggurunan Makit, menghasilkan penciptaan 1.176 juta mu (kira-kira 78,400 hektar) projek tebus guna padang pasir, termasuk 460,000 mu hutan jalur pelindung.
Sehingga kini, lebih daripada 260 juta pokok telah ditanam, termasuk poplar berdaun pelbagai bentuk, Xanthoceras sorbifolium, poplar Euphrates, zaitun Rusia, tamarisk, dan saxaul.
Persembahan tarian di tapak pelancongan padang pasir di Makit. (Foto oleh Liu Le)
“Gurun Taklimakan yang saya lihat hari ini langsung tidak sama dengan padang pasir zaman kanak-kanak saya,” kata Reyhan.
Peralihan itu melangkaui pemulihan alam sekitar kepada peralihan budaya yang lebih luas tentang cara penduduk tempatan melihat pembangunan, mengutamakan kemampanan daripada eksploitasi.
“Ramai pelancong dari luar ingin mendekati padang pasir,” kata Wang Jiangpeng, timbalan pengarah biro kebudayaan, sukan, radio, televisyen dan pelancongan kaunti Makit.
Meskipun terdapat sejumlah kecil pelawat pada masa lalu, kemudahan pelancongan yang tidak mencukupi membawa maksud bahawa kebanyakannya hanya mengambil gambar di pinggir padang pasir sebelum pulang ke tempat masing-masing.
Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kaunti itu telah mempergiat semula infrastruktur dan perkhidmatan pelawatnya, yang didorong oleh sokongan padu daripada kerajaan tempatan, perusahaan dan pihak berkepentingan komuniti.
Ia secara tidak langsung telah meningkatkan reputasi dan kapasitinya untuk menampung jumlah pelancong yang semakin meningkat.
“Tahun lepas sahaja, kami menerima 400,000 pelancong, dan kami menjangkakan melebihi 500,000 tahun ini. Pelancongan padang pasir menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi kaunti ini,” kata Wang.
Digalakkan oleh ledakan pelancongan padang pasir, Reyhan memutuskan untuk tinggal di Makit dan menyertai syarikat pembangunan pelancongan. Dia kini mengetuai pelancong dalam lawatan padang pasir yang mendalam jauh ke dalam Taklimakan.
Pelancong sedang membuat gaya untuk bergambar di hadapan bilik pameran bertemakan padang pasir di sebuah tapak pelancongan di Makit. (Foto ihsan Chinese National Geography)
Meskipun dia membesar di pinggiran padang pasir, Reyhan tidak pernah menjangkakan bahawa tempat itu mampu berevolusi menjadi destinasi yang sangat meriah.
Semasa musim kemuncak, rata-rata pelancong tiba sekitar matahari terbenam. Selepas mencuba memandu kenderaan luar jalan raya dan aktiviti-aktiviti lain, mereka pulang ke tapak khemah untuk menikmati persembahan tarian dan lagu tempatan, serta mengikuti pengalaman membuat roti leper. Apabila tibanya malam, mereka merenung ke langit yang berbintang, dan ketika fajar menyinsing, mereka menaiki gumuk nan tinggi untuk menyaksikan matahari terbit.
Malah, walau ketika waktu bukan puncak, khemah tersebut jarang sekali sunyi. Kawasan pelancongan padang pasir terletak bersebelahan dengan taman hutan euphratica populus dan Taman Tanah Lembap Kebangsaan Tasik Tangwang di Makit.
“Pembangunan pelancongan harus tidak mengabaikan ekosistem padang pasir, jadi kami mengambil langkah berjaga-jaga sejak dari mula,” ujar Reyhan.
“Bagi Makit, pelancongan padang pasir membawa pekerjaan dan meningkatkan pendapatan. Dengan mengimbangi pemuliharaan padang pasir, pemulihan ekologi, dan pembangunan mampan, kami telah membentuk model yang mengharmonikan perlindungan alam sekitar dengan kemajuan ekonomi," kata Wang Faqiang, timbalan ketua Parti kaunti Makit.
"Pelancongan padang pasir adalah sumber yang kaya. Sebagai padang pasir terbesar di China, Taklimakan dijangka menarik lebih ramai pengunjung melalui model bersepadu (iaitu kawalan padang pasir + industri + pekerjaan + pelancongan)”, tambah beliau.