NZ Umum Pengecualian Visa Buat Pengembara China dari Australia

Kerajaan New Zealand pada Ahad mengumumkan dasar pengecualian visa buat rakyat China yang mengembara dari Australia, lapor agensi berita Global Times.

Pemandangan bandar Auckland, New Zealand. (Global Times/Shan Jie)

Pemandangan bandar Auckland, New Zealand. (Global Times/Shan Jie)

Pakar dari China berpendapat bahawa dasar kemudahan visa itu bukan sahaja mewujudkan suasana yang menggalakkan menjelang kunjungan Perdana Menteri Christopher Luxon ke China pada minggu ini, tetapi juga mencerminkan penekanan utuh kerajaan NZ terhadap pertukaran antara rakyat kedua-dua negara, yang telah menjadi pendorong utama dalam hubungan dua hala.

Menurut Imigresen NZ, mulai November 2025, negara itu akan memulakan percubaan status pengecualian visa buat pemegang pasport China yang mengembara dari Australia dengan visa melawat, bekerja, pelajar atau keluarga yang sah. Kesemua mereka dibenarkan untuk melawat NZ sehingga tiga bulan, dengan menggunakan Pihak Berkuasa Perjalanan Elektronik NZ (NZeTA), berbanding memohon visa tradisional.

Walau bagaimanapun, pengecualian visa itu tidak terpakai bagi individu yang sedang transit di Australia, dan pemohon masih perlu untuk memenuhi kriteria NZeTA.

Difahamkan, pengecualian visa yang diumumkan pada Ahad itu akan dilaksanakan secara ujian selama 12 bulan, dan dijangka akan menambah baik lagi tarikan NZ sebagai destinasi pilihan dalam kalangan pelancong China.

Sejurus beberapa jam selepas pengumuman dibuat, tanda pagar ‘Pengecualian visa percubaan New Zealand untuk warga China yang mengembara dari Australia mulai November’ telah menarik perhatian yang meluas di Sina Weibo, dengan mencapai 3.07 juta pembaca.

Dalam tempoh sejam pengumuman, platform agensi pelancongan dalam talian terkemuka China, Ctrip dalam siaran medianya kepada Global Times memberitahu bahawa telah jumlah carian berkaitan NZ melonjak sebanyak 70 peratus berbanding tempoh sama hari yang terdahulu.

Naib presiden Kumpulan Ctrip, Qin Jing memberitahu Global Times bahawa pelaksanaan dasar baharu itu dijangka akan mendorong aliran penumpang pelancong China ke NZ melalui Australia secara signifikan, sekali gus mempromosi lagi pertukaran pelancongan dan kebudayaan antara ketiga-tiga negara itu.

Jelas Qin, landskap semula jadi New Zealand dan sumber ekopelancongan yang kaya sentiasa menjadi pilihan oleh pelancong China.

Beliau menyatakan bahawa dari April hingga Mei tahun ini, tempahan perjalanan ke NZ di platform itu meningkat sebanyak 37 peratus dari tahun ke tahun, manakala volum urus niaga di tempat-tempat menarik melonjak sebanyak 74 peratus.

Memetik jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian pada Jumaat, lawatan oleh Luxon ke China pada 17 hingga 20 Jun menandakan lawatan pertama beliau sejak memegang jawatan tersebut, dan juga tatkala usia perkongsian strategik komprehensif China-NZ memasuki dekad kedua.

Lapor artikel terbitan laman sesawang kerajaan NZ pada Jumaat, lawatan Luxon antara lain dijangka akan memberi tumpuan kepada perdagangan yang berkembang, yang bernilai lebih AS$38 bilion tahun lepas, serta mengukuhkan hubungan pendidikan dan pelancongan dan memaksimumkan peluang untuk perniagaan NZ.

Untuk rekod, China ialah sumber terbesar pelajar antarabangsa New Zealand dan merupakan pasaran pelancongan ketiga terbesarnya.

Video

Berita Berkaitan