Kereta Api Pelancongan Kebudayaan Antarabangsa China-Asia Tengah Pertama Jadi Saluran Baharu Pertukaran Antara Rakyat, Budaya

Gambar sebuah rumah opera di Astana, Kazakhstan. (Foto ihsan Syarikat Perkhidmatan Pelancongan Antarabangsa Wilayah Barat Xinjiang)

Gambar sebuah rumah opera di Astana, Kazakhstan. (Foto ihsan Syarikat Perkhidmatan Pelancongan Antarabangsa Wilayah Barat Xinjiang)

Kereta api pelancongan kebudayaan China-Asia Tengah pertama, yang menghubungkan Xi’an iaitu ibu kota Provinsi Shaanxi di barat laut China dengan Almaty, Kazakhstan pada baru-baru melengkapkan perjalanan pusingan pertamanya.

Dengan itu, ia sekali gus menandakan pembukaan saluran baharu bagi usaha memperdalam ketersambungan dan menggalakkan pertukaran antara rakyat dan budaya antara China dan Asia Tengah.

Kereta api yang khusus untuk pelancongan, Y29, berlepas dari Xi’an dengan lebih daripada 200 penumpang pada pagi 29 Mei, dan tiba di Almaty pada petang 31 Mei.

Sekitar pukul 6 petang pada 7 Jun, kereta api itu kemudian pulang ke Xi’an, secara tidak langsung menamatkan perjalanan penuh bermakna sejauh 3,600 kilometer yang mendekatkan penduduk dan budaya dua negara di sepanjang Jalan Sutera.

Difahamkan, kereta api itu beroperasi di bawah model pengangkutan bersegmen, dengan seksyen antarabangsa dan domestik dikendalikan oleh pihak berkuasa kereta api negara masing-masing, yang telah rapat bekerjasama bagi memastikan kelancaran pelepasan kastam sehenti buat penumpang.

Pada bahagian luar kereta api, ia telah dihiasi dengan bertemakan ‘jambatan keemasan pada Jalan Sutera’, manakala pada bahagian dalam pula terdapat hiasan elemen-elemen ikonik dari kedua-dua negara termasuk Pagoda Angsa Liar Gergasi Xi’an, tembok bandar purba, dan Menara Loceng, serta seni bina mercu tanda dari Kazakhstan yang dilihat menghidupkan semula keunikan Jalan Sutera purba.

Semasa perjalanan, acara-acara kebudayaan seperti demonstrasi perubatan Cina tradisional (TCM), syarahan tentang budaya tradisional, pengalaman mendekati warisan budaya tidak ketara, sesi melukis dan khat secara langsung, dan persembahan opera Cina tradisional diadakan secara harian, sekali gus memberikan peluang kepada penumpang dari pelbagai negara untuk menikmati interaksi aktif.

“Saya sangat teruja. Ini adalah kali pertama saya melancong ke luar negara menerusi kereta api!” ujar Yu Min, seorang penumpang dari Xi’an.

Hui Lixia, timbalan pengarah jabatan pengangkutan penumpang China Railway Xi’an Group berkata bahawa pelancaran kereta api itu adalah contoh jelas tentang bagaimana kereta api mampu menjadi wadah dalam pertukaran antara rakyat di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Kami menyasarkan untuk menghasilkan suasana yang mengasyikkan dan mesra buat pengembara, selain mengubah kereta api menjadi ‘kad panggilan bergerak’ Shaanxi dan juga ‘kereta api ekspres Jalan Sutera’ yang membuat memperkuat ikatan antara rakyat China dan negara-negara Asia Tengah,” ujar Hui lagi.

Satu upacara alu-aluan secara besar-besaran dan siri aktiviti pertukaran kebudayaan telah diadakan selepas kereta api itu tiba di Almaty. Penduduk tempatan dengan berbusana Kazakh tradisional telah menyambut penumpang dari China dengan alunan muzik dan tarian, serta membuat demonstrasi 10 wakil warisan budaya tidak ketara China yang telah mencuri hati penduduk Almaty.

Dalam tempoh 10 hari itu juga, turut dianjurkan adalah acara pertukaran arkeologi dan budaya termasuk pameran foto, lawatan arkeologikal di tapak, dan syarahan bertema, yang sekali gus memberikan pandangan pelbagai dimensi terhadap kejayaan legasi dan moden Jalan Sutera, serta cerita-cerita berkenaan saling belajar antara peradaban.

Memandangkan 2025 menandakan tahun pelancongan China di Kazakhstan, pelancaran kereta api pelancongan kebudayaan China–Asia Tengah yang pertama (Xi'an–Almaty) dipercayai menjadi ‘penggalak’ yang berkesan terhadap kerjasama mendalam antara China dan Kazakhstan.

Kereta api itu dijangka menggalakkan pembangunan sektor pelancongan di negara-negara di sepanjang laluannya, memacu penggunaan, menyuntik tenaga ke dalam pembangunan ekonomi serantau, dan memajukan integrasi dalam pengangkutan, budaya dan bidang lain antara China dan Asia Tengah, sekali gus menyumbang kepada pembinaan komuniti China–Asia Tengah yang lebih rapat dengan masa depan yang dikongsi bersama.

Video

Berita Berkaitan