Xiaomi Perkenal SUV Elektrik, Cermin Mata AI Pertama

Xiaomi melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektriknya yang pertama iaitu YU7. (Xinhua/Guo Yujing)

Xiaomi melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektriknya yang pertama iaitu YU7. (Xinhua/Guo Yujing)

Agensi berita Xinhua melaporkan bahawa firma teknologi China, Xiaomi telah melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektriknya yang pertama iaitu YU7, dan juga cermin mata pintar pertamanya yang dikuasakan AI di Beijing pada Khamis.

Difahamkan, SUV YU7 yang harganya bermula pada RMB253,500 (sekitar AS$35,400) dikeluarkan dalam tiga konfigurasi dan menawarkan sembilan pilihan warna, dengan model asasnya menawarkan julat jarak 835 kilometer di bawah Kitaran Ujian Kenderaan Ringan China.

Bagi cermin mata AI Xiaomi pula, ia mengintegrasikan pembantu pintar yang menyokong fotografi, videografi, soal jawab masa nyata dan terjemahan untuk 10 bahasa. Cermin mata itu juga menyokong akses ensiklopedia model berbilang mod dan pembayaran tanpa sentuh menerusi pengimbasan visual.

Lapor Xinhua, model asas cermin mata AI tersebut dijual pada harga RMB1,999, yang disifatkan oleh pemilik dan pengerusi Xiaomi, Lei Jun sebagai ‘pintu masuk AI peribadi untuk era teknologi mudah alih yang seterusnya’.

Pada acara itu, syarikat tersebut melancarkan lebih daripada 10 item baharu termasuk telefon pintar dan perkakasan rumah pintar, selain pengumuman Lei terhadap komitmen sebanyak RMB200 bilion untuk pembangunan dan penyelidikan teknologi terus untuk lima tahun yang seterusnya.

Untuk rekod, Xiaomi memasuki pasaran kenderaan elektrik pada 2021. Sejak Mac 2024, Xiaomi telah menjual lebih 250,000 kenderaan, sekali gus muncul sebagai pemain utama dalam pasaran kenderaan tenaga baharu yang bertumbuh pesat dengan memanfaatkan pembuatan pintar yang maju dan persekitaran dasar yang memihak untuk memacu peningkatan pesatnya.

Xinhua yang memetik Persatuan Pengilang Automobil China berkata bahawa pasaran auto China terus mempamerkan pertumbuhan yang kuat. Untuk lima bulan pertama tahun ini, pengeluaran tenaga baharu China melonjak 45.2 peratus dari tahun ke tahun kepada hampir 5.7 juta unit, dengan juala meningkat 44 peratus berbanding tahun terdahulu kepada 5.61 juta unit.

Video

Berita Berkaitan