- Lain-lain
Legasi Jalan Kuno Teh-Kuda Subur di Sempadan China-Laos
Jika anda menaiki kereta api dari Mohan, kaunti Mengla di Provinsi Yunnan, barat daya China, 10 minit kemudiannya anda akan berada di Boten, iaitu perhentian pertama di Laos di Kereta Api China-Laos.
Untuk rekod, ia merupakan nod utama pada Jalan Kuno Teh-Kuda, iaitu laluan perdagangan semasa zaman Dinasti Tang (618-907).
Semasa zaman Dinasti Ming dan Qing (1368-1911) pula, kafilah baghal China mula keluar dari Kunming, ibu kota Provinsi Yunnan, dengan membawa teh Pu’er dan barang besi melalui Pu’er dan Xishuangbanna, serta melintasi Mohan sebelum tiba di Asia Tenggara. Sebagai pulangan, pedagang Laos membawa garam batuan dan produk pertanian yang istimewa ke China menerusi Boten.
Pelajar Laos dari Sekolah Menengah Vokasional Mengla menyertai himpunan pasar di sempadan China-Laos. (Foto oleh Wang Zi)
Hari ini, para penjaja di pasar sempadan sambil berlatarbelakangkan bunyi pengumuman yang berbilang bahasa di Kereta Api China-Laos terus menghidupkan nadi pertukaran budaya di sepanjang laluan perdagangan bersejarah ini, sekali gus meneruskan kisah keterbukaan dan ketersambungan yang sentiasa berkembang.
Mengla merupakan kaunti paling selatan di Xishuangbanna, Provinsi Yunnan, dan ia berkongsi gunung dan sungai dengan Laos dan Myanmar.
Tatkala fajar menjelang, Yan Shu, ketua kampung Manlie Mengla, sudah bangun untuk keluar dari rumah, untuk menuju ke pasar nan meriah yang dianjurkan di kampung itu. Dua kali sebulan, penduduk China dan Laos akan berkumpul di kampung Manlie sempena acara perayaan tersebut untuk melawat rakan-rakan dan saudara-mara, seterusnya menikmati makanan tempatan, serta berdagang barangan dalam suasana yang hangat dan meriah.
Kampung Manlie terletak kira-kira lima kilometer dari Pelabuhan Mengman di sempadan China-Laos, dan berhadapan dengan Muang Sing di Provinsi Luang Namtha, Laos.
Di tengah-tengah hiruk-pikuk pasar, aroma masakan etnik Dai panggang bertembung dengan keharuman kopi Laos yang kaya, sementara kraf Laos buatan tangan seperti anyaman buluh dan sabun semula jadi memenuhi gerai-gerai.
Yan menelusuri orang ramai, berbalas salam dengan penjual di sepanjang jalan, sibuk sehingga tengah hari sebelum akhirnya duduk untuk menjamu selera bersama rakan-rakannya.
Pemandangan dari sudut udara Pelabuhan Guanlei di daerah Mengla, Provinsi Yunnan di barat daya China. (Foto oleh Zha Wei)
“Jalan raya China terus menjadi lebih baik!” kata salah seorang rakan kepada Yan, sambil menikmati suapan ikan pekasam.
Perdagangan sempadan antara China dan Laos mempunyai sejarah yang panjang. Pada tahun 1993, kedua-dua kerajaan secara rasminya membuka pelabuhan negara Mohan-Boten, serta melonggarkan lagi dasar untuk perdagangan rentas sempadan.
Pada Jun tahun lepas, Mengla dan Muang Sing melancarkan program ‘isi rumah saudara perempuan’, yang menggalakkan keluarga dari kedua-dua belah sempadan untuk menyokong satu sama lain pada waktu-waktu sukar, serta berkumpul untuk majlis perkahwinan dan perayaan lain, sekali gus memupuk ikatan seperti persaudaraan rentas sempadan.
Bagi Yan, ia adalah hubungan yang berkembang daripada perniagaan kepada persaudaraan.
“Pada mulanya kami hanya rakan kongsi perdagangan, kemudian rakan minum - kini kami berjiran yang saling mengawasi satu sama lain,” ujarnya, sambil memberitahu bahawa interaksi harian tersebut perlahan-lahan menjalin tali persahabatan yang telah bertahan sejak sekian lama.
Tiket untuk kereta api penumpang antarabangsa D87 di Kereta Api China-Laos, yang berjalan antara Kunming dan Vientiane, turut mendapat permintaan yang tinggi.
Bagi Anong, 19, seorang pelajar dari Laos, dia menyatakan bahawa kereta api itu adalah impiannya. Kakaknya mula bekerja untuk kereta api lebih setahun yang lalu, dan kini Anong berharap untuk mengikuti jalan sama, yang turut mendorongnya dalam memilih untuk belajar di Sekolah Menengah Vokasional Mengla.
Para pelajar Laos mempelajari bahasa Mandarin di Sekolah Menengah Vokasional Mengla. (People’s Daily/Qu Pei)
Dalam tempoh dua dekad yang lalu, sekolah tersebut telah menerima hampir 3,000 pelajar Laos. Mereka kebiasaannya meluangkan dua tahun yang pertama untuk mempelajari bahasa Cina sebelum memohon untuk kemasukan universiti China atau melanjutkan kerjaya sebagai penterjemah.
Ramai rakan sekelas Anong yang pergi ke sekolah menggunakan Kereta Api China-Laos. Bagi mereka, kereta api itu ibarat ‘Jalan Moden Teh-Kuda’. Tetapi, jika dibandingkan dengan masa lalu, apabila kafilah berpergian selama tiga bulan, kereta api hari ini hanya mengambil masa selama beberapa jam sahaja.
Chanxay Xekang, seorang lagi pelajar berusia 19 tahun dari Laos, turut belajar di Sekolah Menengah Vokasional Mengla. Dia berharap untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah perubatan di universiti China selepas tamat pengajian.
“Teknologi perubatan China sangat maju,” katanya sambil berkongsikan matlamatnya untuk kembali ke Laos dan membuka klinik sendiri kelak.
Penumpang yang menaiki kereta api China-Laos tiba di Mohan, kaunti Mengla, Provinsi Yunnan di barat daya China. (Foto oleh Huang Yuanfei)
Chanxay berasal dari Provinsi Phongsaly di utara Laos, iaitu tempat penanaman teh yang merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian, dengan hampir setiap kampung menanamnya, dan hampir setiap isi rumah menggunakannya.
Kongsi Chanxay, datuknya sering teringat derup kafilah keldai yang perlahan dan melelahkan yang pernah digunakan untuk membawa teh keluar dari wilayah tersebut. Hari ini, satu laluan rel dan kabel gentian optik sudah cukup untuk menghubungkan teh Phongsaly dengan pasaran yang beribu batu jauhnya.
Dari gemerincing loceng keldai ke kereta api berkelajuan tinggi, dan dari stesen pos purba ke pelabuhan sempadan moden, mekanisme sambungan telah berubah. Namun, ikatan yang dijalin oleh landskap yang dikongsi, seterusnya dikekalkan melalui pertukaran rentas sempadan yang rancak pula kekal tidak terputus.
Yan telah pun mengaturkan perhimpunan seterusnya bersama rakan-rakan Laos melalui telefon. Anong meraikan perayaan Songkran bersama rakan sekelas dan guru-gurunya, manakala Chanxay pulang dengan membawa teh musim bunga yang baru dituai.
Di seberang sempadan, harapan dan persahabatan terus berkembang, sekali gus membentang lebih jauh dan lebih luas daripada sebelumnya.
- Aliran Penumpang dan Kargo Rel China-Laos Cecah Rekod
- Rel China-Laos Rangsang Pertumbuhan Eksport Tani Laos
- Perdagangan Buah-buahan Semakin Rancak Susulan Operasi Laluan Kereta Api China-Laos
- Xi Ucapkan Takziah atas Pemergian Bekas Presiden Laos
- Hantaran Penumpang Rel China-Laos Lepasi 50 Juta
- China Ikrar Perkasa Kerjasama Bilateral dengan Laos
- Modenisasi ala China Rujukan bagi Pembangunan Negara Lain - Duta Besar Laos
- China Komited Perkasakan Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN
- China, Laos Saling Hantar Kuasa Bersih
- China, Laos Bina Pusat Kerjasama Inovasi AI