- Lain-lain
‘Pembantu’ Pintar di Lapangan Terbang Antarabangsa Chongqing Permudah Pergerakan Pelancong
Lapangan Terbang Antarabangsa Jiangbei Chongqing di Perbandaran Chongqing, barat daya China telah memperkenal sekumpulan peranti dan peralatan pintar untuk memperkemas. perkhidmatan pengguna dan mendorong kecekapan pengoperasian.
Sekumpulan ‘pembantu’ baharu itu, yang mula digunakan pada 28 Julai, meliputi lapan robot perkhidmatan yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI), 21 buah peranti paparan maklumat penerbangan pintar, dua sistem pemuatan automatik berasaskan lengan robotik, dan 13 robot bergerak autonomi.
Ini adalah robot perkhidmatan AI bernama Yu Feifei, yang sedang berkhidmat di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Jiangbei Chongqing di barat daya China. (Foto oleh Zou Le)
Kesemua lapan robot perkhidmatan yang dikuasakan AI yang dinamakan Yu Feifei, kini sedang ditugaskan untuk membantu pengembara dengan navigasi dan pengangkutan bagasi kabin di Terminal 3 lapangan terbang itu.
Dilengkapi dengan skrin paparan muka berdefinisi tinggi, kesemua robot itu menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti mencari pintu masuk, menyemak status penerbangan dan memperkenal pilihan tempat makan.
Selepas pengguna memilih fungsi ‘navigasi’, skrin akan memaparkan laluan yang dioptimumkan, dan Yu Feifei akan mengiringi mereka ke tempat yang dituju.
Zhou Can, seorang pentadbir kejuruteraan elektrik untuk projek di lapangan terbang itu berkata bahawa robot-robot tersebut telah disesuaikan untuk persekitaran lapangan terbang.
Tambahnya, selain daripada navigasi yang tepat, setiap robot Yu Feifei mempunyai ruangan bagasi yang tersedia, dengan kemampuan untuk membawa bagasi sehingga 8 kilogram, sekali gus menawarkan kecekapan dalam sokongan pergerakan buat penumpang.
Untuk rekod, sejumlah 21 peranti paparan maklumat penerbangan pintar telah dipasang di ruang pelepasan dan daftar masuk di Terminal 3B.
Sistem pemuatan automatik berasaskan lengan robotik sedang mengisih bagasi di ruang keluar zon pengurusan bagasi di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Jiangbei Chongqing, di barat daya China. (Foto oleh Zou Le)
Berbanding dengan skrin paparan konvensional, kesemua peranti tersebut menampilkan teknologi pengecaman wajah, yang membolehkan penumpang untuk mengesahkan identiti masing-masing dan akses penerbangan masa nyata, serta maklumat pintu masuk dengan hanya perlu mengimbas wajah.
Kedua-dua sistem pemuatan automatik berasaskan lengan robotik dan 13 robot bergerak autonomi telah dikerahkan untuk mengisih dan memindahkan bagasi serta barangan bersaiz besar yang telah didaftar, sekali gus meningkatkan kecekapan dengan signifikan dan mengurangkan bebanan tugas pekerja.
Zhao Ying, pengurus projek di lapangan terbang itu berkata bahawa sistem pemuatan tersebut adalah yang pertama seumpamanya di China yang menggunakan peralatan pintar untuk pemuatan automatik bagi bagasi keluar dalam senario berasaskan pelongsor.
Jelasnya, sistem itu menampilkan kombinasi inovatif yang terdiri daripada pelongsor putar, lengan robotik, trek lapangan bergerak dan sebuah peranti untuk pemisahan dan penyimpanan bagasi.
Kedua-dua lengan robotik itu boleh bergerak ke kiri dan kanan di lapangan untuk mengendalikan empat zon pelongsor, mengisih sehingga 180 buah bagasi setiap jam.
- China Dominasi Model Besar AI dengan Lebih 1,500 Model Dilancarkan
- China Cadangkan Pembinaan Pertubuhan Kerjasama AI Sedunia
- PM China Bakal Hadiri Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia 2025
- Institusi Pendidikan di China Manfaatkan AI Bagi Pembelajaran Lebih Pintar
- Pertandingan “AI for All: China-ASEAN” Umum Topik Cabaran Utama
- Pertandingan “AI for All”: Tempat Kebijaksanaan Bertemu Teknologi
- Pertandingan “AI for All” Dilancarkan di Guangxi
- AI Diam-diam Corakkan Ribuan Industri
- Pertandingan “AI for All” di Guangxi Buka Penyertaan
- Robot AI Digunakan untuk Menuai